Kategori Berita Antarabangsa

Moscow usir 60 diplomat AS

30 MAC: Rusia mengusir 60 diplomat Amerika Syarikat (AS) di Moscow semalam dan menutup konsulat di St Petersburg.

Menteri Luar, Sergei Lavrov turut memberi amaran bahawa negara lain yang mengusir diplomatnya akan menerima nasib sama.

“Jumlah yang perlu meninggalkan Rusia bergantung kepada bilangan individu yang terbabit dalam misi diplomatik mereka,” katanya dipetik BBC.

Ini bermakna, Perancis, Jerman dan Poland masing-masing mempunyai empat diplomat akan diarah keluar, Ukraine 13 diplomat, manakala Denmark, Albania dan Sepanyol masing-masing mempunyai dua petugas kedutaan.

Lavrov menambah, Duta AS John Hunstman sudah dimaklumkan tentang langkah timbal balik dan memberi masa seminggu untuk diplomat mereka meninggalkan Rusia.

Pada 17 Mac, pihak Kremlin mengusir 23 diplomat Britain dan menghentikan segala aktiviti dengan British Council sebagai respons terhadap langkah provokatif Perdana Menteri Britain, Theresa May yang mengusir diplomat Rusia di London.

Tindakan oleh London itu berikutan insiden serangan agen saraf, didakwa dilakukan Moscow ke atas bekas perisiknya, Sergei Skripal dan anak perempuannya, Yulia di Salisbury, pada 4 Mac lalu.

Rusia bagaimanapun menegaskan negaranya tidak pernah menghasilkan agen saraf dengan kod nama Novichok serta mengesahkan Moscow sudah menghapuskan kesemua senjata kimia milik mereka.

Terdahulu, lebih daripada 20 negara dilaporkan sudah mengusir diplomat Rusia sebagai tanda solidariti bersama United Kingdom, antaranya Amerika Syarikat yang mengarahkan 60 diplomat Rusia keluar dari negara itu dan menutup konsulat di Seattle.

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 30 March 2018 10:39 am





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: