Kategori Berita Utama

MP pembangkang terus main isu Speaker tolak soalan 1MDB

23 OKT: Memang dasar pembangkang, perkara yang sama diulang-ulang bagi mengelirukan rakyat agar membenci kerajaan.

Walaupun kerajaan atau pihak berwajib sudah member penjelasan, tetapi bagi pemimpin pembangkang, ia ibarat masuk telinga kanan keluar telinga kiri.

Begitulah gelagat ahli-ahli parlimen Pakatan Harapan (PH) apabila pada hari pertama sidang Dewan Rakyat pada Isnin masih mempersoal kenapa Speaker Dewan Rakyat  menolak lebih daripada 10 soalan mereka berkaitan 1MDB.

Wan Azizah dan ahli parlimen PH sanggup adakan sidang media semata-mata mahu kitar isu lama kononnya Speaker Dewan Rakyat tolak soalan berkaitan 1MDB. Foto RABBANI JAMIAN

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail berkata tindakan Speaker Tan Sri Pandikar Amin Mulia jelas memperlihatkan percubaan kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak memperalatkan institusi parlimen khususnya berkaitan isu skandal 1MDB.

Ahli Parlimen Permatang Pauh itu sanggup mengadakan sidang media dengan beberapa sekutunya, hari ini semata-mata untuk memaklumkan rasa kesal Dewan Rakyat yang menolak empat pertanyaan jawab lisannya mengenai perkara itu.

Katanya, ini mengulangi kembali tindakan yang sama pada sesi sidang yang lalu di mana hampir 30 soalan ahli parlimen yang berkaitan dengan skandal 1MDB telah ditolak dengan memberikan alasan yang tidak munasabah.

Mungkin Wan Azizah tidak membaca jelas kenyataan jelas Pandikar pada 27 Julai lalu bahawa tuduhan pembangkang  yang mengatakan semua soalan tentang syarikat milik kerajaan ditolak adalah tidak berasas.

Ini kerana menurut Pandikar, kira-kira 19 soalan 1MDB telah dibenarkan untuk berbahas pada sesi tersebut sekaligus menyangkal tuduhan oleh pembangkang itu.

“Bukan semua soalan berkaitan 1MDB itu ditolak, masih ada soalan 1MDB yang ada dalam aturan mesyuarat.

“Jadi tidak betul dakwaan pembangkang mengatakan semua soalan ditolak. Ada sekitar 19 soalan berkaitan 1MDB dibenarkan masuk dalam sesi kali ini,” kata Pandikar dalam sidang media di Parlimen pada sesi lalu.

Sidang media Pandikar pada 27 Julai lalu menjawab isu kononnya Speaker tolak soalan berkaitan 1MDB

Sidang media itu bagi menjawab dakwaan beberapa ahli parlimen pembangkang kononnya Speaker Dewan Rakyat sengaja menolak 30 soalan dan usul berkaitan 1MDB pada sesi persidangan kali ini.

Jelas beliau, kebanyakan soalan yang dikemukakan ditolak kerana melanggar Peraturan Mesyuarat 23 (c), mengandungi banyak unsur tuduhan dan direka-reka.

“Banyak soalan yang direka-reka cerita, perkara berbangkit, berbentuk tohmahan dan tuduhan, maka Speaker tidak ambil sebab melanggar Peraturan 23 (c),” katanya.

Peraturan Mesyuarat tersebut menyatakan sesuatu pertanyaan itu tidak boleh mengandungi apa-apa hujah, sangkaan, fikiran, tohmahan, puji atau keji atau mengandungi kalimah menyakitkan hati ataupun mengenai apa-apa perkara dangkal atau meminta penerangan mengenai perkara remeh.

Kata Pandikar lagi, isu 1MDB itu tidak seharusnya dibangkitkan lagi kerana Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) telah memutuskan bahawa Perdana Menteri tidak terlibat dalam isu 1MDB.

“Isu 1MDB ini sedang dibicarakan, PAC pun sudah buat siasatan 2 tahun lalu, dalam jawatankuasa itu (PAC) ada kerajaan ada pembangkang, (mereka) panggil orang yang terlibat, panggil saksi dan sebagainya,” ujarnya.

Malah katanya, Ahli Parlimen DAP Kepong  Tan Seng Giaw yang juga timbalan pengerusi PAC, sudah menjelaskan bahawa Perdana Menteri tidak terlibat dalam isu 1MDB.

“ini bukan saya yang buat keputusan, saya pun tidak ada hak untuk buat keputusan.

“Kenapa masih lagi tidak boleh terima dan bangkitkan isu ini lagi di Parlimen? lagipun 1MDB adalah subjudis, tidak boleh dibicarakan tentang sesuatu isu yang sedang dibicarakan di mahkamah oleh Jabatan Keadilan Amerika Syarikat (DOJ),” katanya.

Memang benar Dewan Rakyat adalah tempat bagi membincangkan semua isu tetapi ianya tertakluk kepada peraturan mesyuarat malah Speaker sendiri terikat dengan peraturan tersebut.

“Jangan jadikan Dewan Rakyat seperti pasar…(kita) bukan jual sayur, bukan jual ikan atau ayam atau pasar lelong. Kita ada peraturan,” katanya sambil menambah mesyuarat Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung pun ada peraturan.

Cukup-cukuplah ahli parlimen pembangkang mempolitikkan isu 1MDB ini, atau adakah mereka sudah kering modal mahu berdepan PRU 14 sehingga terus mengitar semula isu lapuk ini?

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 23 October 2017 2:59 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: