Kategori Kolum Ahli Parlimen

MPPL – Peluang anak tempatan majukan Lenggong

Pada era teknologi komunikasi dan maklumat (ICT) yang menjadikan dunia seolah tiada sempadan, rakyat pula semakin ramai yang tinggi tahap pendidikan, dan negara berada di landasan untuk muncul sebagai negara maju berpendapatan tinggi, kaedah pentadbiran autoritarian sehala dari atas ke bawah menjadi tidak lagi relevan, malah akan ditolak.

Menyedari hakikat itu, Datuk Shamsul Anuar Nasarah selaku Ahli Parlimen Lenggong, tahu beliau mengambil pendekatan terbuka dan inklusif (menyeluruh) dalam mentadbir serta membangunkan kawasan Parlimennya, yang terletak kira-kira 279 kilometer ke utara ibu negara.

DATUK Shamsul Anuar Nasarah...penggal kedua menjadi wakil rakyat Lenggong.

DATUK Shamsul Anuar Nasarah…penggal kedua menjadi wakil rakyat Lenggong.

Beliau yang masuk penggal kedua menjadi Ahli Parlimen melalui mandat Lenggong pada Pilihan Raya Umum ke 13 (PRU-13) mengambil inisiatif untuk menubuhkan Majlis Perundingan Parlimen Lenggong (MPPL).

“MPPL diwujudkan dalam usaha menggerakkan seluruh organisasi sukarela, kelab dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam Parlimen Lenggong yang mewakili pelbagai kepentingan dan lapisan masyarakat untuk sama-sama memikul tanggungjawab di kawasan  ini,” kata Shamsul kepada bnbbc.my.

Keanggotaan MPPL setakat ini terdiri daripada 108 organisasi merangkumi pertubuhan berbentuk ekonomi, pendidikan, rekreasi, sukan, belia dan sebagainya termasuk organisai sahsiah atau politik.

Turut dilibatkan adalah tokoh penting dan berpengaruh serta memegang pelbagai jawatan utama dipelbagai sektor yang dilantik sebagai pakar rujuk dalam MPPL.

SHAMSUL mempengerusikan persidangan sulung MPPL 29 Januari lalu

SHAMSUL mempengerusikan persidangan sulung MPPL 29 Januari lalu

Di samping itu terdapat 20 Ahli Lantikan yang terdiri daripada anak kelahiran Lenggong yang mahir dalam bidang tertentu termasuk para Profesor di institusi pengajian tinggi (IPT) dan lain-lain yang boleh menyumbang buah fikiran dalam usaha memajukan tempat kelahiran mereka.

Justeru itu MPPL juga diharap dapat menjadi kumpulan pemikir (think tank) yang boleh berfungsi sebagai Badan Penasihat kepada Ahli Parlimen Lenggong dalam melaksanakan amanah rakyat untuk membangun dan memajukan kawasan di bawah tanggungjawabnya, jelas Shamsul lagi.

“MPPL akan memainkan peranan memberi pandangan, nasihat dan cadangan, berkaitan perkara-perkara yang berkaitan dengan kawasan Parlimen Lenggong termasuk pembangunan, hala tuju, membantu menangani sebarang permasalahan atau pertikaian yang mungkin timbul dan sebagainya,” Shamsul menerangkan wawasan beliau mewujudkan MPPL.

Majlis itu juga boleh bertindak sebagai badan penyelaras organisasi kemasyarakatan, kelab dan NGO, terutama dalam mengkoordinasi pelbagai aktiviti dan program di Kawasan Parlimen Lenggong.

“Perlu diingat bahawa sebenarnya keadaan telah berubah…pelbagai pihak mesti dilibatkan dan digerakkan secara bersama bagi membangunkan perkara-perkara yang juga sebenarnya melibatkan kepentingan mereka.

“Justeru itu saya mengalakkan penglibatan pelbagai organisasi dalam MPPL yang saya lihat penting dan boleh menambahkan kekuatan serta sokongan kepada setiap usaha yang hendak kita lakukan,” kata beliau.

MPPL

Shamsul lega dan bangga kerana persidangan pertama MPPL menunjukkan semua pihak komited untuk menyumbangkan kepakaran dan buah fikiran.

Shamsul berbangga kerana MPPL sudah mula berfungsi apabila berjaya bersidang buat kali pertama pada 29 Januari lalu dengan semua organisasi kemasyarakatan, kelab, NGO, agensi dan jabatan kerajaan serta pihak swasta yang dijemput hadir menunjukkan komiten.

“Semuanya memberikan sokongan dan menunjukkan penglibatan yang baik. Ini dengan sendirinya menjadikan MPPL forum terbaik untuk semua ahlinya peka dengan isu-isu rakyat.

“Jabatan kerajaan, pihak swasta dan anggota masyarakat berpeluang menggunakan MPPL bagi menyampaikan apa saja termasuk idea, pandangan, perancangan, fungsi dan menjawab pelbagai isu berkaitan badan yang masing-masing wakili,” kata Shamsul.

Wakil Gerakan Belia 4B Lenggong, Mohamad Abdul Wahab yang hadir pada persidangan sulung MPPL berkata, ini ruang terbaik yang boleh dimanfaatkan semua pihak di daerah yang dipercayai wujudnya tamadun terawal di negara ini berdasarkan penemuan rangka manusia purba ‘Perak Man‘.

“Pendekatan Ahli Parlimen Lenggong melalui MPPL merupakan suatu yang amat baik untuk dimanfaatkan kerana menerusi MPPL kami boleh menyuarakan pelbagai pandangan tentang isu-isu pembangunan dan juga perkara lain yang penting untuk kami ketahui,” kata Mohamad.

Manakala wakil Koperasi Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Grik, Maimun Yusof  mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada Shamsul kerana mengilhamkan penubuhan MPPL.

“Ruang sebegini bukan hanya kita boleh menyuarakan pendapat serta memberikan pelbagai pandangan, tetapi ia juga boleh dimanfaatkan lebih jauh daripada itu.

“Contohnya dalam bidang perniagaan, saya dapat mewujudkan rangkaian dengan banyak pihak dan tentunya ini baik untuk koperasi saya…jadi saya harap kita bersama-sama manfaatkan MPPL,” kata Maimon.

Menurut Shamsul, MPPL akan bersidang sekurang-kurangnya tiga kali setahun.

Semua perkara yang dibincangkan dalam persidangannya akan diambil tindakan susulan oleh Urusetia MPPL yang diwujudkan khas di Pusat Khidmat Ahli Parlimen Lenggong, yang juga berperanan mentadbir MPPL.

“Apa yang penting MPPL adalah badan yang membolehkan semua pihak secara bersama berusaha bagi menjayakan perancangan memajukan Lenggong dan bersama melakukan yang terbaik untuk Parlimen Lenggong,” kata Shamsul, yang lahir pada 1 jun 1967 di Kampung Luat, Lenggong.-bnbbc.my

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 18 February 2014 7:07 am





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: