Kategori Berita Utama

Zahid damaikan MP Bagan Serai dan Ketua UMNO Bahagian

25 MAC: Bukan rahsia lagi di UMNO Bahagian dan Parlimen Bagan Serai hubungan Ketuanya Datuk Sham Mat Sahat dan Ahli Parlimen Datuk Dr Noor Azmi Ghazali agak renggang.

Menyedari hal itu, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengambil inisiatif untuk mendamaikan hubungan keruh di antara kedua-dua pemimpin ini dihadapan hadirin di Dataran Kerian Permai.

Beliau meminta Sham dan Dr Noor Azmi melupakan persengketaan masing-masing sebelum memanggil kedua-duanya untuk bersalam dan berpelukan di hadapan hadirin pada majlis berkenaan sambil menerima tepukan gemuruh hadirin.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mendamaikan Ahli Parlimen Bagan Serai, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali dan ADUN Alor Pongsu yang juga Ketua UMNO Bahagian Bagan Serai, Datuk Sham Mat Sahat yang berseteru selama ini di Program Mesra Rakyat

Ahmad Zahid yang juga Naib Presiden UMNO yang menjalankan tugas Timbalan Presiden parti, berkata pemimpin seharusnya bijak mengawal penyokong masing-masing dan harus boleh bersikap tegas atau berlembut, bukannya lembut atau tegas sepanjang masa.

“Datuk Sham dan Dr (Noor) Azmi jangan bergaduh, jangan ikut cakap pengikut. Yang penting kita adalah pemimpin, penyokong yang kena ikut cakap pemimpin.

“Kawal penyokong masing-masing, yang penting rakyat harus menerima pembelaan daripada pemimpin.

“Dok bergaduh je…rakyat jadi mangsa tau. Sebab itu, saya satukan hati mereka hari ini. Bukan semua (yang berbalah) cuma satu dua orang sahaja. Cukuplah jadi keras macam batu (keras kepala).

“Yang penting rakyat Bagan Serai dan rakyat Parit Buntar mesti dipimpin Adun (Anggota Dewan Undangan Negeri) dan Ahli Parlimen BN (Barisan Nasional),” katanya pada program itu.

Kira-kira 3,000 ahli UMNO dan anggota parti komponen Barisan Nasional (BN) menghadiri program tersebut.

Ahmad Zahid membangkitkan perkara itu selepas Noor Azmi dan Sham dikatakan bersengketa dan ia dilihat memberi kesan tidak baik di peringkat UMNO Bagan Serai menjelang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Difahamkan, perbalahan Sham yang juga ADUN Alor Pongsu dan Noor Azmi bermula selepas PRU13.

Justeru itu, Ahmad Zahid mahukan semua pemimpin parti negeri supaya bersatu hati bagi memastikan kerajaan negeri Perak yang dipimpin Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir terus diperkukuhkan di bawah panji-panji BN.

Ahmad Zahid berkata, pemimpin yang baik juga tidak hanya berjumpa rakyat setiap lima tahun sekali tetapi perlu turun padang tanpa mengira musim atau masa serta sentiasa mengambil tahu masalah rakyat dan akan melakukan tindakan segera untuk menyelesaikannya.

“Kita pemimpin di atas ini, kita dengar suara rakyat dan dengar maklumbalas dari rakyat, dengar keluh kesah dan kesusahan daripada rakyat, (dan) pemimpin bukan hanya sebagai pendengar yang baik, pemimpin yang baik pasti mengambil tindakan segera untuk membantu rakyat keseluruhannya,” katanya.

Dalam ucapannya, Ahmad Zahid juga meminta semua pemimpin Barisan Nasional (BN) agar berpendirian tegas dan tidak mudah terpengaruh serta terikut-ikut dengan penyokong masing-masing.

Katanya tindakan pemimpin yang terpengaruh dengan kata-kata penyokong dan bergaduh dengan pemimpin lain akan mengakibatkan rakyat menjadi keliru dan memberi kesan buruk kepada BN.

“Ya kita (pemimpin) dengar (cakap) pengikut kita, mereka boleh berikan pandangan dan nasihat kepada kita, (tetapi pemimpin) bukan mendengar nasihat daripada ‘punahsihat’.

“Kita pemimpin ada pendirian, kita bukan paksa pengikut ikut cakap kita tetapi pemimpin mesti lebih baik daripada orang yang dipimpinnya, kalau pemimpin ikut sama cakap pengikut, pengikut pecah (berpecah), kita ikut pecah, pengikut yang sini kata begini, kita keliru, baik jangan jadi pemimpin.

“Rakyat keliru kalau pemimpin tidak ada pendirian, beranilah sikit sebagai pemimpin sebab kita pemimpin, kita bukan nak kelas, bukan nak berlagak, bukan nak jadi gangster, kita buat adalah untuk rakyat kerana rakyat lebih penting, itulah pemimpin,” katanya pada Program Mesra Rakyat Bersama Timbalan Perdana Menteri itu.

Ahmad Zahid juga meminta semua pihak memastikan penambahan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Perak pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) nanti.

“Dalam PRU akan datang bukan sahaja Perak dipertahankan malah diperkukuhkan sebab kekuatan di peringkat DUN akan beri kekuatan Parlimen.

“Kita kekurangan hanya 14 kerusi Parlimen untuk mendapat dua pertiga (di Parlimen), kenapa kira kurang?…kerana ada di kalangan pemimpin yang terpengaruh dengan pengikut yang terpecah dan akhirnya kita kalah, bukan kerana pembangkan kuat tapi kita yang lemah,” katanya.

Beliau juga tidak mahu pengundi di daerah Kerian khususnya Parlimen Parit Buntar melakukan kesilapan lagi dengan memilih wakil rakyat pembangkang yang hanya memberi perkhidmatan ‘air liur’ sehingga menzalimi serta menganiayai penduduk di kawasan itu.

Dalam konteks Parlimen Bagan Serai dan Parit Buntar, kata Timbalan Perdana Menteri, jika mahu terus supaya kerajaan mengambil kepedulian, rakyat perlu berterima kasih kepada BN dan menyokongnya pada PRU14.

“Apabila hari besar (PRU14) ini akan sampai, ketika itu kelawar-kelawar politik akan datang meracuni pemikiran kita dengan pelbagai pemikiran dan kita menjadi terpengaruh kerana rasa tidak puas hati.

“Bantuan amat kita harapkan tetapi kerana tidak puas hati kita tidak pun bersyukur dengan apa yang telah diberikan dengan memprotes dan memberikan dokongan kepada pihak lain yang menjadi kelawar politik yang datang lima tahun sekali dan apabila terpilih tidak pun menjenguk kepada kita,” katanya.

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 25 March 2018 9:34 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: