Kategori Berita Utama

MPs BN optimis RUU Antiberita Tidak Benar langkah terbaik

26 MAC: Cadangan mewujudkan RUU Antiberita Tidak Benar disokong ahli parlimen BN bagi menyekat kekeliruan yang sering berlaku terhadap masyarakat berikutan berita palsu yang disebarkan.

Ahli Parlimen Sekijang, Anuar Abdul Manap berkata ia adalah masa yang sesuai untuk dilaksanakan sebagai komitmen kerajaan yang bertegas dalam menyekat penyebaran berita palsu tersebut.

Ahli Parlimen Sekijang Anuar Abd. Manap

“Soalnya hari ini kita sudah sedia maklum bahawa berita tidak benar yang dikeluarkan di media massa senang nak dikeluarkan, kalau media sosial melalui Facebook, Twitter Instagram sukar untuk diatasi, mereka akan guna ‘fake account’ jadi ini cabaran bila akta ini tidak dilaksanakan.

“Kalau berita itu disebar melalui digital platform yang sukar nak kesan siapa yang keluarkan tapi sekurang-kurangnya ada kuasa untuk keluarkan berita itu dari platform berkenaan, ia boleh menjadi satu arahan baru kepada penggiat media sosial supaya mereka berhati-hati tentang berita yang ingin dikeluarkan,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Sesi taklimat mengenai RUU tersebut yang disampaikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman Said di Parlimen, Isnin.

Dalam masa yang sama Ahli Parlimen Setiu, Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh menolak dakwaan bahawa RUU tersebut adalah bagi melindungi kerajaan daripada sebarang perkara yang ingin disembunyikan dari pengetahuan rakyat.

“Kita tak perlu takut kepada bayang-bayang, RUU ini terpakai kepada semua orang, bukan hanya kepada kerajaan, sebarkan berita palsu boleh diambil tindakan dibawa ke mahkamah, bila ada laporan maka akan ada siasatan, kalau tak benar, akan dibawa pergi ke mahkamah. Dan RUU ini tertakluk kepada pembangkang juga.

Ahli Parlimen Setiu, Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh

“Kita menyokong kerana berita palsu ini mampu rosakkan negara, lebih suka kepada nak mencari sokongan, ini sebenar yang berlaku, kalau benar tak apa, kalau tak benar, rakyat akan rasa sesuautu yang kerajaan buat tak betul, ini yang kita nak perbetulkan,” ujarnya lagi.

RUU Antiberita Tidak Benar dibentang dan dibaca kali pertama pagi tadi oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said.

RUU ini juga mencadangkan denda sehingga RM500,000 atau penjara 10 tahun bagi mereka yang didapati bersalah menyebarkan berita palsu.

RUU juga mentakrifkan “berita palsu” sebagai “apa-apa berita, maklumat, data dan laporan, yang sebahagiannya atau keseluruhannya adalah palsu, sama ada dalam bentuk rencana, visual atau rakaman audio atau dalam apa-apa bentuk lain yang boleh menggambarkan perkataan atau idea”.

Penerbit yang menerbitkan “berita palsu” juga akan dikenakan sehingga RM100,000 bagi kesalahan itu dan RM300,000 lagi bagi setiap hari kesalahan itu berterusan.

RUU ini mentakrifkan penerbitan sebagai “apa-apa penerbitan bertulis atau penerbitan yang sifatnya serupa dengan apa-apa penerbitan bertulis, dan tiap-tiap salinan dan penghasilan semula atau penghasilan semula substansial penerbitan itu.”

RUU itu bertujuan memberikan kuasa kepada mahkamah untuk menentukan berita palsu, kerana ia membenarkan “mana-mana orang yang terjejas oleh penerbitan yang mengandungi berita palsu” memohon kepada mahkamah untuk menghapuskan artikel tersebut.

RUU ini dijangka akan dibahaskan dan dibacakan kali kedua kepada sidang Dewan Rakyat pada Khamis ini.

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 26 March 2018 5:25 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: