Kategori Semasa/Laporan Sidang Parlimen

MRT laluan Kajang-Muzium Negara beroperasi Isnin ini

14 JULAI: Orang ramai berpeluang menggunakan perkhidmatan MRT Fasa Kedua laluan antara Kajang dan Muzium Negara mulai 4 petang pada 17 Julai selepas majlis pelancaran dilakukan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Rail Sdn Bhd, Datuk Ir Zohari Sulaiman, orang ramai boleh mengambil kesempatan untuk menaiki tren berkenaan yang dihubungkan ke Stesen KL Sentral melalui laluan pejalan kaki bawah tanah mulai 4 petang sehingga tamat waktu perkhidmatan pada hari berkenaan.

“Hubungan ke Fasa Pertama Laluan LRT Sungai Buloh – Semantan dan juga ke stesen-stesen integrasi Laluan MRT Kelana Jaya, LRT Laluan Sri Petaling, dan LRT Laluan Ampang hanya akan dibuka bermula 6 pagi pada hari berikutnya, pada 18 Julai,” kata Zohari.

Dengan jajaran keseluruhan sepanjang 51km merentasi 31 stesen, termasuk tujuh stesen bawah tanah, Laluan MRT Sungai Buloh – Kajang berintegrasi dengan Laluan LRT di stesen-stesen Pasar Seni, Maluri, dan Merdeka, yang berintegrasi dengan stesen LRT Plaza Rakyat.

Jajaran ini turut mempunyai kemudahan sambungan dengan rangkaian LRT, monorel, KTM dan ERL di Stesen Muzium Negara, yang dihubungkan dengan stesen KL Sentral.

Stesen MRT Bukit Bintang juga disambungkan dengan stesen monorel Air Asia – Bukit Bintang.

Serentak dengan pembukaan Fasa Kedua Laluan MRT ini, perkhidmatan bas perantara untuk stesen-stesen yang baru dibuka turut dimulakan, sekali gus meluaskan liputan bas perantara yang disediakan oleh Rapid Bus Sdn Bhd kepada 23 laluan tambahan merentasi 12 stesen MRT yang baru.

Sebanyak 100 bas perantara tambahan disediakan untuk menghubungkan penduduk di kawasan-kawasan perumahan dan komersial yang berhampiran dengan stesen-stesen MRT terpilih.

Fasa pertama antara Sungai Buloh dan Semantara mula beroperasi pada 16 Disember tahun lepas dengan purata 15,000 penumpang sehari

Pembukaan Fasa kedua dijangka dapat meningkatkan jumlah harian penumpang sehingga 150,000 sehari hasil impak daripada kemudahan integrasi dan sambungan dengan rangkaian-rangkaian sistem perhubungan rel bandar.

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 14 July 2017 10:48 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: