Kategori Semasa/Laporan Sidang Parlimen

MTUC tidak boleh terima hakikat pemberhentian pekerja

17 MEI:  Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) sukar menerima hakikat pekerja termasuk secara kontrak ditamatkan perkhidmatan bukan atas alasan prestasi kerja.

Atas sebab itu, Presidennya, Datuk Abdul Halim Mansor  merayu Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengekalkan kakitangan awam kontrak yang tidak terbabit secara terus dengan politik kerajaan terdahulu.

“Ini kerana mereka ditamatkan perkhidmatan disebabkan kaedah politik. Seharusnya mereka diberikan layanan serta dasar yang sama dalam pengambilan dan penamatan perkhidmatan.

“Daripada 17,000 pekerja yang ditamatkan perkhidmatan, bukan semua terbabit secara terus atau sebagai pembuat keputusan dalam jabatan masing-masing.

“Kemungkinan mereka adalah pekerja sokongan dan saya merasakan dalam kaedah kita menamatkan perkhidmatan, haruslah berdasarkan prestasi pekerja,” katanya memetik laporan NSTP hari ini.

Beliau mengulas laporan kira-kira 17,000 kakitangan awam yang dilantik bagi keperluan politik dan pentadbiran oleh pemerintah Barisan Nasional (BN) ditamatkan perkhidmatan bagi menjimatkan perbelanjaan kerajaan.

Abdul Halim berkata, pihaknya berharap pendirian MTUC dalam isu itu tidak dipandang negatif oleh kerajaan baharu.

“Kerajaan perlu menilai dalam konteks kemanusiaan, bagaimana pekerja terbabit hendak menempuh Ramadan dan menyambut Hari Raya bila diberhentikan kerja secara tiba-tiba dengan notis yang amat singkat.

“Hal ini amat mengejutkan walaupun dalam konteks kita boleh membayar gaji ganti notis, tetapi ia satu tekanan kepada pekerja apabila mereka diberhentikan, seolah-olah mendapat satu hukuman yang amat berat,” tegasnya.

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 17 May 2018 7:00 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: