Kategori Semasa/Laporan Sidang Parlimen

Turun padang tingkat pemantauan harga barang bukan gimik – TPM

18 JAN: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin turun padang membuat tinjauan di Pasar Borong Selayang serta Pasaraya Besar NSK di Selayang, pagi Sabtu susulan kenaikan harga barangan dan peningkatan kos hidup yang menjadi isu hangat kebelakangan ini.

Antara yang turut kelihatan bersama beliau ialah Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ismail Sabri serta Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hassan Malek.

Selain itu, Timbalan Perdana Menteri membuat pemantauan di Pasar Mini Snofa, Taman Greenwood, Gombak.

Selepas turun padang memantau situasi harga barang keperluan di empat lokasi, Muhyiddin berkata langkah meningkatkan pemantauan bagi menentukan faktor-faktor kenaikan harga barang bukan suatu gimik.

Sebaliknya ia menunjukkan keseriusan kerajaan menangani beban kos sara hidup rakyat, kata Muhyiddin.

Timbalan Perdana Menteri berkata penguatkuasaan juga akan dilaksanakan dengan lebih tegas supaya bukan hanya harga barangan dapat dikawal, malah para peniaga mematuhi undang-undang dan peraturan sedia ada.

“Ini bukan langkah main-main. Bila Kabinet dan Perdana Menteri lantik saya bantu KPDNKK (Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan), ini menunjukkan kita serius dan dengar suara rakyat. Tidak boleh didiamkan, mesti ada respons segera.

“Ini bukan gimik. Selagi keadaan tidak bertambah baik maka jawatankuasa khas akan lihat semua aspek berkaitan,” kata beliau.

Rabu lalu Muhyiddin mengumumkan penubuhan Jawatankuasa Khas Menangani Kos Sara Hidup yang dipengerusikan beliau sendiri bagi menangani isu kenaikan kos sara hidup rakyat dan harga barang secara bersepadu.

Muhyiddin berkata jawatankuasa itu akan memantau secara menyeluruh pelbagai aspek berkaitan harga barangan seperti bekalan, permintaan dan pendapatan rakyat, selain langkah-langkah fiskal yang telah diambil kerajaan seperti rasionalisasi atau pengurangan secara berperingkat subsidi.

Katanya setakat ini, kerajaan tidak menerima sebarang aduan bekalan khususnya produk pertanian dan perternakan yang tidak mencukupi.

“Sebagai kerajaan kita bertanggungjawab, tidak lepas tangan. Trend hari ini ada pihak yang ambil kesempatan guna kenaikan harga minyak, pengurangan subsidi gula dan gaji minimum (sebagai alasan naikkan harga barang). Bagi saya ini tidak patut,” katanya.

Selain itu, Timbalan Perdana Menteri berkata kerajaan juga akan meneliti trend peniaga menaikkan harga barang tanpa sebab munasabah semata-mata untuk mengaut keuntungan berlebihan.

Untuk itu, tegas Muhyiddin, setiap peniaga perlu mempamerkan harga jualan barangan masing-masing seperti digariskan Akta Kawalan Harga dan Anti-Pencatutan 2011, bagi memudahkan pemantauan oleh pihak berwajib.

Dalam pada itu, Timbalan Perdana Menteri berkata kerajaan mempunyai beberapa mekanisme bagi mengawal harga barangan termasuk memperluas permit import untuk penambahan bekalan.

“Ini tiada masalah, pasaran kita terbuka. Ini boleh bantu pengguna dapatkan bekalan yang lebih banyak. Dasarnya ialah membanjiri pasaran dengan produk dan dengan itu (pengguna) boleh dapatkan harga yang lebih rendah dan berpatutan,” katanya.

Selain itu, kata Muhyiddin, undang-undang sedia ada bagi mengawal harga barang masih boleh dikuatkuasakan, namun boleh dikaji semula jika ada keperluan.

Beliau turut meminta rakyat bersabar untuk pihaknya meneliti hasil pemantauan jawatankuasa khas berkenaan yang dijangka selesai sebelum hujung bulan ini.-bbnbbc.my

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pendidikan meninjau harga ikan ketika membuat tinjauan kenaikan harga barangan di Pasar Borong Selayang pagi Sabtu sambil diperhatikan Menteri Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hassan Malek (berkemeja biru).-Foto bnbbc.my Hilmi Jaafar)

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pendidikan meninjau harga ikan ketika membuat tinjauan kenaikan harga barangan di Pasar Borong Selayang pagi Sabtu sambil diperhatikan Menteri Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hassan Malek (berkemeja biru).-Foto bnbbc.my Hilmi Jaafar

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pendidikan melihat harga ayam yang dipamerkan sambil bertanya sesuatu kepada peniaga (berbaju merah) ketika membuat tinjauan kenaikan harga barangan di Pasar Borong Selayang pagi Sabtu sambil diperhatikan Menteri Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hassan Malek (berkemeja biru).-Foto bnbbc.my Hilmi Jaafar)

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pendidikan melihat harga ayam yang dipamerkan sambil bertanya sesuatu kepada peniaga (berbaju merah) ketika membuat tinjauan kenaikan harga barangan di Pasar Borong Selayang pagi Sabtu sambil diperhatikan Menteri Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hassan Malek (berkemeja biru).-Foto bnbbc.my Hilmi Jaafar

 

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 18 January 2014 9:00 am





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: