Kategori Berita Utama

Muzakarah UMNO-PAS: Perlu jawatankuasa kaji pendapat akar umbi

12 DIS: Satu jawatankuasa bebas perlu ditubuh untuk membuat kajian mengenai muzakarah UMNO-PAS bagi mengetahui pendapat akar umbi ahli-ahli kedua-dua parti serta masyarakat Melayu di negara ini.

Ahli PArlimen Tasek Gelugor Shabudin Yahya mencadangkan perkara itu kerana pucuk pimpinan PAS atau UMNO sehingga sekarang tidak lagi dapat memberi kata putus mengenai muzakarah itu yang dicadangkan semula Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang baru-baru ini.

“Kita tanya masyarakat keseluruhan melalui satu badan yang boleh buat kajian. Tanya pendapat akar umbi, tanya seluruh umat Islam, orang Melayu tanpa mengira latar belakang parti,” katanya.

pasumnokjsama

Sudah lama isu kerjasama UMNO – PAS diperkatakan tetapi belum ada titik pertemuan

Beliau merasakan hasil daripada kajian tersebut berkemungkinan akan mendapat keputusan orang Melayu Islam di negara ini mahu melihat UMNO dengan PAS bersatu dalam apa jua bentuk.

Sekiranya itu keputusan yang dicapai, beliau berpendapat pucuk pimpinan kedua-dua parti tidak lagi mempunyai pilihan lain selain daripada menerima keputusan tersebut.

“Kedua-duanya mesti menerima keputusan penuh akar umbi bahawa mereka kena bersatu, jadi saya rasa itulah jalan terakhir setelah berpuluh tahun kita tengok saling berdolak dalik diantara pucuk pimpinan.

“Saya rasa rakyat sudah matang dan rakyat nampaknya di bawah itu masih keluh kesah baik penyokong sendiri pun,” katanya.

Tambah beliau, sekiranya cadangan kajian ini berjaya direalisasikan, pastinya ia merupakan satu kejutan untuk melihat keikhlasan dalam penyatuan Melayu dan Islam.

Beliau mahu PAS membuka mata menerima hakikat dan mengambil ikhtibar terhadap apa yang berlaku ke atas orang Melayu dan Islam di Pulau Pinang.

datukshahbudinyahya

Shabudin

“Ini dengan mudah-mudahnya Jeff Oii dan Lim Guan Eng menghina orang Islam Melayu dan ini bukan kali pertama beliau cakap begitu.

“Kalaulah masa ini orang Melayu dalam PAS masih lagi menaruh harapan kononnya DAP masih lagi ada tahalul siyasi dengan PAS, saya rasa PAS ini sudah kena dengan DAP terlalu banyak kali sehingga sudah tidak boleh hendak disenaraikan.

“PAS sepatutnya sudah mula berfikir untuk keputusan yang berani. Baru nampak ketegasan dan rakyat yakin PAS mampu menerajui negara,” ujar beliau.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sudahpun mengadakan pertemuan dengan Menteri Besar Kelantan Datuk  Ahmad Yakob tetapi tiada butiran lanjut mengenai isu muzakarah dilaporkan selepas pertemuan  itu. –bnbbc.my

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 12 December 2013 12:21 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: