Kategori Semasa/Laporan Sidang Parlimen

Naib tanding jawatan Presiden

Pemangku Setiausaha Agung Gerakan, Datuk Mah Siew Keong hari ini mengesahkan beliau akan bertanding jawatan presiden.

Katanya, keputusan tersebut dibuat selepas perbincangan menyeluruh dengan pemangku Presiden Datuk Chang Ko Youn dan pemimpin akar umbi di seluruh negara.

Siew Keong, yang juga Naib Presiden parti berkata, beliau mendapat sokongan untuk bertanding jawatan tertinggi parti itu daripada pemimpin di lapan negeri termasuk Perak, Kedah, Johor, Selangor, Kelantan, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Negeri Sembilan dan Sabah.

logogerakanSambil diapit para penyokong dari negeri berkenaan, Mah membuat pengumuman tersebut di Menara PGRM di sini, menjelang hari penamaan calon parti, esok.

Siew Keong , bagaimanapun enggan mendedahkan manifesto beliau sambil berkata ia akan digariskan selepas proses penamaan calon.

“Saya berharap untuk mendapatkan sokongan daripada semua perwakilan.

Kerjasama berpasukan adalah sangat penting. Kita perlu mengukuhkan setiap negeri,” katanya.

Spekulasi bertiup kencang mengatakan bahawa Siew Keong akan dicabar Pengerusi Gerakan Pulau Pinang, Teng Chang Yeow untuk jawatan nombor satu.

Jawatan presiden akan dikosongkan setelah Chang yang mengambil alih kepimpinan parti itu pada Mei lepas, memutuskan untuk tidak bertanding.

Mengenai sama ada beliau telah bertemu Chang Yeow berhubung isu jawatan presiden, Mah, yang membayangkan bahawa beliau berharap agar pertandingan dapat dielakkan, berkata ‘rundingan masih berjalan’.

“Kami masih berbincang,” katanya, sambil menambah bahawa sekiranya berlaku pertandingan, adalah diharapkan ia akan diadakan secara ‘gentleman’.

Dalam perkembangan lain, Siew Keong mendakwa terdapat khidmat pesanan ringkas (SMS) yang diedarkan dalam kalangan perwakilan mengenai pembohongan dan menyerang beliau secara peribadi.

“Foto juga digunakan untuk menyerang saya. Ini tidak pernah berlaku dalam tempoh 20 tahun, saya dalam Gerakan. Ini bukan budaya Gerakan. Kita semua dalam satu parti. Musuh (tersebut) tidak berada dalam parti, musuh kita berada di luar parti,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Pengerusi Gerakan Kedah, Dr. Cheah Soon Hai mengumumkan beliau akan bertanding merebut jawatan timbalan presiden parti.-18/10/2013

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 18 October 2013 10:53 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: