Kategori Semasa/Laporan Sidang Parlimen

Najib bangga pengorbanan bapa jual rumah demi anak

3 MEI: Pengorbanan seorang bapa menjual rumah semata-mata untuk membiayai kos dua anaknya menyertai Pertandingan Catur Individu Sekolah Dunia 2017 di Romania, mendapat perhatian Perdana Menteri.

Datuk Seri Najib Tun Razak turut berkongsi kebanggaan berikutan pencapaian Afiqah Zahra Salihin, 7, yang berjaya menduduki tempat kelima dunia dalam kategori perempuan bawah tujuh tahun pada pertandingan berkenaan.

“Apa yang dilakukan Salihin untuk dua anaknya Nur Anisah, 17 dan Afiqah adalah hakikat pengorbanan seorang bapa demi melihat anak didik mereka menempa kejayaan.

“Pengorbanan Salihin dan ibu bapa lain akan kita hargai melalui kementerian berkaitan. Kita akan pastikan bakat seumpama ini akan dipupuk dan disokong sebaiknya kerana biarpun individu, ia membawa nama Negaraku Malaysia.

“Tahniah Salihin dan semua peserta Malaysia di Pertandingan Catur Individu Sekolah Dunia 2017,” katanya, Rabu.

Perdana Menteri menemui mereka selepas menghadiri majlis inisiatif ‘Negaraku’ yang dijayakan Malaysia Airlines di Perdana Putra.

Sementara itu, Salihin Ahmad, 45,  yang juga merupakan jurulatih kepada anak-anaknya itu berkata dia terpaksa menjual rumah keduanya pada harga RM65,000 di Segamat.

Ia berikutan tiada pihak yang sanggup membiayai kos mereka walaupun pernah memohon bantuan daripada Majlis Sukan Negara dan Kementerian Belia dan Sukan.

“Memandangkan kos yang terlalu tinggi seperti hotel untuk penginapan dan penerbangan, kami terpaksa meminjam sementara menunggu proses penjualan rumah selesai,” ujar Salihin.

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 3 May 2017 7:24 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: