Kategori Berita Utama

Najib berhak saman bekas presiden MCA

29 SEPT : Datuk Seri Najib Tun Razak berhak untuk menyaman bekas presiden MCA Tun Dr Ling Liong Sik kerana memfitnah.

Peguam Datuk Mohd Hafarizam Harun yang mewakili Najib berkata ini adalah kerana anak guamnya memfailkan saman itu terhadap Dr Ling atas kapasiti peribadi dan bukan atas kapasitinya sebagai perdana menteri.

najibliongsik“Sekiranya plaintif (Najib) memfailkan saman itu atas kapasiti peribadi, beliau akan diwakili oleh Peguam Negara dan bukannya saya,” kata peguam itu kepada pemberita selepas berhujah dalam kamar di hadapan Hakim Datuk Nor Bee Ariffin yang turut dihadiri peguam Ranjit Singh mewakili Dr Ling.

Hari ini ditetapkan untuk mendengar permohonan Dr Ling bagi membatalkan saman fitnah yang difailkan Najib terhadapnya atas dakwaan Dr Ling mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah terhadap Perdana Menteri yang disiarkan menerusi artikel dalam sebuah portal berita, pada 3 Oktober tahun lalu.

Sementara itu, Ranjit berkata beliau berhujah bahawa Najib tidak berhak untuk menyaman Dr Ling atas alasan saman itu difailkan atas kapasitinya sebagai perdana menteri bukan atas kapasiti peribadi.

“Plaintif (Najib) tidak mempunyai locus standi yang diperlukan untuk memulakan prosiding bagi kenyataan berbaur fitnah yang berkaitan dengan plaintif dalam kedudukannya sebagai perdana menteri,” kata Ranjit sambil menambah Dr Ling telah memohon untuk membatalkan saman Najib atas alasan ia adalah penyalahgunaan proses mahkamah.

hafarizam

HAFARIZAM

Ranjit berkata mahkamah menetapkan Nov ini untuk keputusan itu. Namun tiada tarikh spesifik ditetapkan oleh mahkamah.

Pada 27 Oktober tahun lalu, Najib memfailkan saman terhadap Dr Ling antara lain memohon satu perintah supaya bekas Menteri Pengangkutan itu (Dr Ling) menyiarkan kenyataan maaf dalam akhbar atau majalah yang ditentukan Najib dalam format dan syarat yang ditetapkan beliau.

Najib dalam pernyataan tuntutannya juga memohon perintah bagi menghalang Dr Ling atau kakitangannya atau ejen daripada terus mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah atau sebarang perkataan fitnah terhadap beliau.

Turut dipohon ganti rugi am, ganti rugi khas, ganti rugi teruk dan ganti rugi teladan, kos dan relif lain yang difikirkan wajar oleh mahkamah.

Najib juga mendakwa Dr Ling telah secara palsu dan berniat jahat mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah terhadapnya semasa menghadiri satu upacara di sebuah kolej universiti yang disiarkan menerusi satu artikel dalam sebuah portal berita pada 3 Oktober 2015.

Katanya, perkataan-perkataan yang diterbitkan dalam artikel itu antara lain membawa maksud beliau telah menggelapkan dana awam ke dalam akaun peribadi beliau, dan bahawa beliau telah menyalah guna dana syarikat pelaburan milik kerajaan, 1Malaysia Development Berhad (1MDB) untuk kepentingan dan keuntungan peribadi beliau serta beliau tidak kompeten atau layak menjadi ketua kerajaan atau perdana menteri Malaysia.

 

 

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 29 September 2016 8:46 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: