Kategori Berita Utama

Najib berpuas hati kelancaran MRT SBK setaraf London, Paris

13 JULAI: Datuk Seri Najib Razak hari ini berkongsi pengalaman meninjau dan mencuba tren Aliran Transit Massa (MRT) laluan Sungai Buloh-Kajang (SBK) fasa kedua yang bakal beroperasi Isnin ini, termasuk melalui laluan terowong bawah tanah sedalam tujuh tingkat seperti di London dan Paris.

Perdana Menteri dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor yang meluangkan masa mencuba sistem pengangkutan awam moden itu petang semalam turut ditemani beberapa rakan dalam talian.

Antara yang menyertai Najib ialah Karl Syafek, Ridwan Mustafa, Akwa Arifin, Roselan Rosli, Kamaruzaman Adlan, Puteri Balqish, Faiz Dickie, Kuan Chee Heng, Fuzana Mokhtaza, Ibrahim Shahrudin, Shahril Sarapuddin, William Cheah dan YiLyn Chan.

Menerusi blog rasminya najibrazak.com hari ini, Perdana Menteri menyatakan amat berpuas hati dengan infrastruktur bertaraf dunia jajaran MRT SBK yang dibangun dan diusahakan ribuan anak tempatan sejak 2010.

Katanya, visi beliau adalah untuk melihat sistem pengangkutan moden yang bukan saja boleh menghubungkan kawasan Lembah Klang, Kuala Lumpur dan Putrajaya tetapi juga sistem yang boleh digantung harap tahap keberkesanannya.

“Tahukah anda, tren kita mempunyai kadar frekuensi yang tinggi iaitu kira-kira 3.3 minit pada waktu puncak untuk setiap tren dan berupaya menampung kapasiti 1,200 orang pada satu masa?” katanya.

Perdana Menteri berkata, MRT fasa SBK hanyalah permulaan kepada sistem pengangkutan awam diimpikan penduduk sekitar Greater Kuala Lumpur dengan laluan Semantan-Kajang melengkapkan jajaran Kajang sepanjang 51 kilometer (km).

Ia bakal melalui kawasan berpopulasi tinggi dan strategik yang memerlukan perkhidmatan rel bandar seperti Kajang serta Cheras.

Beliau berkata, MRT juga dibina untuk mengintegrasikan dengan stesen Komuter, stesen Transit Aliran Ringan (LRT) dan stesen monorel bagi meningkatkan kemudahan kesalinghubungan perjalanan untuk pengguna seperti Stesen Muzium Negara dihubungkan dengan stesen KL Sentral melalui laluan pejalan kaki sepanjang 240 meter yang selesa. ”

Saya percaya ini akan memberi galakan kepada pengguna jalan raya memilih pengangkutan awam. MRT turut menghubungkan destinasi popular pelancong seperti Muzium Negara, Bukit Bintang dan Pasar Seni.

“Lebih menarik, tujuh stesen jajaran MRT SBK adalah stesen bawah tanah. Ketika tren melalui terowong bawah tanah sedalam tujuh tingkat semalam, saya gembira menerima maklum balas Harvinth Skin yang memuji kecekapan sistem yang ada.

“Malah, saya maklumkan kepada beliau, kini kita tidak perlu lagi ke London dan Paris untuk merasai pengalaman yang sama,” katanya.

Bercerita lebih lanjut, Perdana Menteri berkata, Perunding Alam Sekitar, Dr G Balamurugam yang memuji kecanggihan sistem MRT turut bertanya bagaimana perasaannya sebagai pemandu projek itu yang pada peringkat permulaan menerima banyak bantahan daripada penduduk terutama kawasan bandar.

“Contohnya, di Taman Tun Dr Ismail wujud dakwaan projek MRT akan menjejaskan kawasan setempat. Ternyata perkara ini tidak benar sama sekali apabila kini ramai rakyat yang menerima manfaat kesalinghubungan lebih holistik.

“Saya bersetuju dengan pandangan beliau (Balamurugam) bahawa untuk menjadi sebuah negara yang maju kita harus memiliki sebuah sistem pengangkutan awam yang canggih,” katanya.

Najib turut melahirkan kekaguman dengan keunikan reka bentuk stesen bawah tanah yang direka dengan identiti tersendiri.

Antaranya, Stesen Merdeka yang dilawati mempunyai identiti Malaysia dan sarat dengan mesej kenegaraan untuk dihayati pengguna sementara menunggu ketibaan tren.

Beliau turut berkongsi pengalaman menaiki perkhidmatan bas perantara yang selesa dengan harga RM1 termasuk keterujaan Wak Doyok membandingkan sistem itu dengan perkhidmatan bas mini pada 1970-an.

“Kepada semua yang terbabit, berbanggalah dengan pencapaian anda, imbas kembali segala pengorbanan tenaga, masa beristirehat bersama keluarga dan sahabat handai.

“Inilah hasil keringat dan air mata anda! Saya sendiri amat bangga dengan anda semua. Wahai rakyat Malaysia, 17 Julai ini, sama-samalah kita raikan satu lagi detik bermakna buat Negaraku, tanah airku. #JomNaikMRT,” katanya.

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 13 July 2017 12:15 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: