Kategori Semasa/Laporan Sidang Parlimen

Najib berseloroh dengan media, bila tarikh PRU14

5 MAC: Seakan mengetahui apa yang bermain di fikiran wartawan yang memenuhi ruang legar Dewan Bankuet, Bangunan Parlimen hari ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sempat bergurau dengan wartawan mengenai teka-teki berkenaan tarikh Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Najib yang sedang berjalan keluar dari dewan tersebut untuk menuju ke kenderaan beliau sempat berhenti sebentar sambil bertanya kepada para wartawan bila tarikh untuk diadakan pilihan raya.

“Bila nak pilihan raya? Nak umum apa pula hari ini,” soal beliau sambil tersenyum kepada media yang berada di Dewan Bankuet, Bangunan Parlimen.

Tarikh PRU14 sehingga kini terus menjadi teka-teki malah terdapat beberapa khabar angin bahawa sidang Dewan Rakyat yang terakhir ini akan ditangguhkan separuh jalan sejurus persempadan semula serta Akta Berita Palsu dibahas dan diluluskan seterusnya akan diumumkan pembubarannya.

Sebelum ini media melaporkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menempah semua helikopter daripada dua syarikat perkhidmatan pengangkutan udara itu di Sabah, untuk digunakan pada April dan Mei.

Helikopter adalah antara pengangkutan utama yang digunakan ketika pilihan raya untuk menghantar peti undi dan pegawai ke stesen mengundi di kawasan pedalaman serta lokasi di kepulauan sekitarnya.

Selain itu SPR juga ada membuat tempahan dakwat kekal dengan sebuah syarikat di India, yang dikatakan akan dihantar “tidak lama lagi”.

Sebuah akhbar di India, Deccan Herald melaporkan, Mysore Paints and Varnish Ltd memberitahu ia menerima tempahan daripada SPR untuk satu lakh (100,000) botol dakwat kekal.

Pengerusi syarikat, H.A. Venkatesh dipetik sebagai berkata, tempahan tersebut digunakan pada pilihan raya umum Malaysia.

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 5 March 2018 4:09 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: