Kategori Berita Utama

Najib: Fahaman ekstrem mendatangkan kerosakan negara

30 MEI: Umat Islam di Malaysia perlu membendung segala kefahaman ‘ekstrem’ yang disifatkan mampu mengundang kepada kerosakan serta malapetaka kepada negara.

Mengulas berkenaan kejadian pengeboman bunuh diri di Manchester, England dan pertempuran pasukan keselamatan Filipina dengan kumpulan militan di Marawi, Mindanao yang membabitkan rakyat Malaysia baru-baru ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menjelaskan bahawa pemahaman berkenaan ‘Maqasid Syariah’ yang perlu diambil perhatian oleh semua.

“Jangan kita lupa, salah satu daripada lima perkara Maqasid Syariah adalah memelihara nyawa, bukan untuk kita membunuh diri kita atau membunuh orang lain.

“Nyawa itu bukan milik kita tetapi milik Allah SWT sahaja yang menentukan hendak mencabut nyawa kita atau memanjangkan nyawa kita,” katanya ketika berucap pada majlis berbuka puasa bersama para ulama, umarak dan pemimpin badan bukan kerajaan (NGO) Islam di kediaman rasminya Seri Perdana, Putrajaya, Selasa.

Turut hadir, Datin Seri Rosmah Mansor, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan Timbalannya Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Najib turut menekankan betapa pentingnya umat Islam untuk bersatu padu dalam memartabatkan Islam dan menjamin masa depan ummah di negara ini.

“Sekiranya berdepan dengan musuh yang bersatu padu dan ada strategi licik tetapi kita sendiri pulau memulau antara satu sama lain, kita mengenepikan antara satu sama lain dan tidak mencari jalan penyatuan, nescaya kita akan tewas kepada musuh Islam.

“Sebahagian besar rakyat Malaysia adalah umat Islam dan kerajaan sahaja tidak boleh memenuhi agenda Islam melainkan NGO-NGO sebagai rakan kongsi kerajaan yang berjuang kerana Allah S.W.T, maka penyatuan itu adalah senjata yang paling ampuh untuk mencapai cita-cita murni kita,” katanya.

Sementara itu dalam  majlis berkenaan, Najib turut menunaikan solat Maghrib berjemaah serta menikmati juadah berbuka puasa bersama lebih 1,500 jemputan termasuk golongan asnaf dan anak yatim.

Pada masa yang sama Perdana Menteri turut menyampaikan Bantuan Galakan Hafaz al-Quran Baitulmal Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan berjumlah RM803,205 kepada 319 huffaz Wilayah Persekutuan serta sumbangan zakat kepada 90 anak yatim di Lembah Klang.

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 30 May 2017 11:18 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: