Kategori Berita Utama

Najib, isteri sertai orang ramai berbuka puasa Dataran Merdeka

4 JUN: Datuk Seri Najib Razak menyertai kira-kira 5,000 warga kota termasuk pelancong luar negara berbuka puasa di Dataran Merdeka, Jalan Raja pada majlis Program Iftar @ KL 2017 malam ini.

Perdana Menteri yang berbaju Melayu merah hati dan berkain pelikat tiba bersama isteri, Datin Seri Rosmah Mansor pada jam 7 malam disambut Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Najib dan isteri kemudian menyerahkan bubur lambuk kepada 40 penerima, melawat food truck dan khemah bubur lambuk serta bertadarus bersama 500 pelajar maahad tahfiz.

Selesai berbuka, Najib dan isteri menunaikan solat Maghrib berjemaah di Dataran Merdeka bersama umat Islam yang diimamkan Imam Makkah, Sheikh Mohd Idris Al-Masyrafi.

Iftar@KL adalah program tahunan anjuran Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan berlangsung setiap Sabtu dan Ahad, mulai 3 hingga 18 Jun ini berhadapan Bangunan Sultan Abdul Samad.

Program sempena Ramadan itu mendapat kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Tun Razak hadir bersama isterinya Datin Sri Rosmah Mansor berbuka puasa bersama warga kota di Dataran Merdeka bersempena program Iftar @KL 2017.

Iftar@KL 2017 adalah wadah untuk menyemarakkan kegiatan kerohanian dan kesenian Islam dalam kalangan masyarakat, khususnya generasi muda di negara ini.

Ia adalah program yang selari dengan keperluan pelancongan menerusi acuan Islam dan usaha menjadikan Kuala Lumpur sebagai pusat seni dan budaya di peringkat antarabangsa.

Selain itu, ia bertujuan untuk mengimarahkan Ramadan sebagai bulan ibadat dan menyemai keprihatinan sesama insan menerusi amalan kebajikan, malah mengeratkan hubungan silaturahim masyarakat pelbagai kaum.

Sebanyak 16 komponen pengisian aktiviti disusun berbanding 14 pada tahun lalu yang akan dilaksanakan JKKN serta Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan.

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 4 June 2017 9:02 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: