Kategori Berita Utama

Najib, Zahid amat terasa kehilangan MP Paya Besar

13 FEB: Datuk Seri Najib Tun Razak mengakui amat terasa dengan kehilangan Ahli Parlimen Paya Besar Datuk Seri Abdul Manan Ismail yang meninggal dunia petang tadi.

Ini kerana kata Perdana Menteri, Allahyarham begitu rapat sekali dengannya dan berkhidmat sebagai setiausaha sulit sewaktu beliau menjawat jawatan Menteri Belia dan Sukan.

“Saya amat kenali begitu rapat dan lama. Saya tahu, bila dia jadi wakil rakyat, beliau telah menjalankan tugas dengan dedikasi dan begitu baik,” katanya.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak serta isteri Datin Seri Rosmah Mansor menziarahi Allahyarham Ahli Parlimen Paya Besar Datuk Seri Abdul Manan yang meninggal dunia hari ini. Turut hadir Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein serta menteri kabinet yang lain

Menurut Najib, Allahyarham telah memberi banyak sumbangan kepada rakyat dan juga dirinya.

“Saya terasa sangat dengan ketiadaan beliau bukan sahaja sebagai ahli parlimen tetapi sahabat yang begitu rapat dengan saya dan keluarga,” kata Najib kepada media selepas menziarahi jenazah arwah di Taman Melawati malam tadi bersama isterinya Datin Seri Rosmah Mansor.

Allahyarham pernah bertugas dengan Najib selama 18 tahun iaitu dari 1986 hingga 2004 sebelum dipilih sebagai wakil rakyat.

Dalam pada itu, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyatakan beliau amat mengenali arwah Abdul Manan begitu juga dengan keluarganya.

“Beliau merupakan rakan sepejabat saya ketika beliau jadi setiausaha sulit kepada Menteri Belia dan Sukan iaitu Datuk Seri Najib Tun Razak.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin serta menteri kabinet yang lain hadir menziarahi Allahyarham Ahli Parlimen Paya Besar Datuk Seri Abdul Manan yang meninggal dunia hari ini

“Saya waktu itu setiausaha politik Datuk Seri Najib dan hubungan kami sangat rapat sebagai rakan sepejabat dan beliau sebagai Ahli Parlimen, beliau bekerja rapat dengan saya kerana diberi tanggungjawab tertentu yang melapor kepada saya sebagai Ketua Whip BN,” katanya selepas menziarah jenazah Abdul Manan.

Menurut Zahid, anak-anaknya juga rapat dengan beliau.

“Saya mendoakan agar roh Allahyarham ditepatkan dikalangan orang-orang yang beriman,” katanya lagi.

Sementara itu Pengerusi BNBBC Tan Sri Shahrir Samad menyifatkan Allahyarham adalah seorang ahli parlimen yang komited dengan tugasnya.

Katanya, Abdul Manan sentiasa hadir ketika persidangan dan selalu mengambil bahagian di dalam perbahasan dan sesi soal jawab.

Katanya Allahyarham cukup disenangi kerana sikap ‘cool’ dan mudah berseloroh.

Shahrir yang juga Pengerusi FELDA berkata, Allahyarham dilantik sebagai Pengerusi Yayasan FELDA sejak 8 bulan lalu.

 

Sementara itu, wakil keluarga Allahyarham, Kamaruzaman Ahmad memaklumkan urusan jenazah akan dilaksanakan esok bermula dari jam 8 pagi di Masjid Hidayah, Taman Melawati, Kuala Lumpur.

“Urusan ziarah dijangkakan bermula dari jam 10 pagi dan seterusnya pengkebumian di Tanah Perkuburan Klang Gate dijangka dalam pukul 11:30 pagi.

“Semoga roh Allahyarham disemadikan di kalangan orang-orang beriman. Amiin,” katanya dalam satu kenyataan.

Terdahulu turut hadir Yang di-Pertua Negeri Melaka yang juga Bekas Menteri Besar Pahang Tun Khalil Yaakob, Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammudin Hussein dan Menteri Wilayah Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor serta Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan.

Yang di-Pertua Negeri Melaka Tun Khalil Yaakob serta Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Noh Omar hadir menziarahi Allahyarham Ahli Parlimen Paya Besar Datuk Seri Abdul Manan yang meninggal dunia hari ini

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 13 February 2018 12:27 am





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: