Kategori Semasa/Laporan Sidang Parlimen

NGO serah memorandum sokong titah Sultan

3 NOV: Seramai 50 individu keturunan Bugis termasuk wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menyerahkan memorandum kepada Sultan Selangor susulan tindakan Tun Dr Mahathir Mohamad yang melabel masyarakat itu sebagai lanun

Perhimpunan di Istana Bukit Kayangan, Shah Alam itu adalah sebagai tanda sokongan terhadap Sultan Sharafuddin Idris Shah yang murka dengan kenyataan bekas Perdana Menteri itu.

Memorandum itu diserahkan kepada wakil Istana, Muhamad Aziz Yatim, di hadapan perkarangan pintu masuk Istana.

Ahli Jawatankuasa Persatuan Melayu Bugis, Sepang, Raja Kamaruddin Raja Abdul Wahid berkata tindakan Dr Mahathir itu disifatkan sebagai tidak profesional.

“Nak berpolitik boleh tapi jangan sentuh mengenai keturunan Bugis yang secara terang mengguriskan hati kami semua.

“Apa motif dia kata keturunan Bugis adalah lanun. Kami sangat sensitif dengan perkara sebegini,” katanya hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Pertubuhan Aduan Masyarakat dan Pengguna Selangor (PAMPS), Nazilah Idris dan Pengerusi Pertubuhan Ikatan Dergahayu Menjunjung Duli (1DMD), Baha Taha.

Sementara itu, Nazilah berkata, titah kenyataan Sultan Selangor amat disokong.

“Kita mohon mana-mana pihak jangan mainkan isu perkauman dan keturunan. Ia hanya akan memporak perandakan kaum dan memecahkan perpaduan di negara kita,” katanya.

Semalam, Setiausaha Dewan Diraja Selangor, Hanafisah Jais dalam satu kenyataan berkata Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah murka dengan Dr Mahathir.

Dewan Diraja Selangor menuntut supaya siasatan dan tindakan undang-undang di bawah Akta Hasutan 1948 atau apa-apa undang-undang berkaitan diambil terhadap Pengerusi Pakatan Harapan itu.

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 3 November 2017 7:14 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: