Kategori Berita Utama

Noh cabar Kor Ming failkan tindakan mahkamah

20 APRIL: Pihak pembangkang terutamanya Ahli Parlimen DAP Taiping, Nga Kor Ming dicabar untuk menfailkan tindakan mahkamah jika tidak berpuas hati dengan dasar atau keputusan yang dibuat oleh Kerajaan Persekutan pimpinan Barisan Nasional (BN).

Cabaran ini dilontarkan oleh Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) Tan Sri Noh Omar kerana menyifatkan pemimpin DAP itu ingin menjadi jaguh rakyat tetapi tidak kena tempat.

“Dia boleh bawaklah, saya lebih suka dia bawak ke mahkamah. Dia akan membuktikan kebodohan dia mempertikaikan hak kerajaan di mahkamah.

“Saya amat alu-alukan tindakan yang dia nak buat untuk nampakkan kebodohan dia. Inilah perangai pembangkang yang suka nak jadi hero rakyat, tapi tak kena tempat,” cabar beliau.

Semalam pemimpin pembangkang menyuarakan tidak berpuas hati dengan pekeliling terbaharu KPKT yang mengarahkan PBT membatalkan projek-projek BP 1 tahun 2017 yang telah diluluskan kepada PBT di kawasan-kawasan parlimen bukan BN.

Menurut Noh, kementeriannya tidak gentar dengan tindakan dangkal yang bakal Kor Ming lakukan kerana sudah ada contoh ahli parlimen pembangkang yang tewas di mahkamah kerana mempertikaikan hak dan keputusan kerajaan memerintah.

“Kor Ming tak ingatkah kes yang dibawa oleh MP (PSM) Sungai Siput dulu yang mempertikaikan peruntukkan kerajaan negeri untuk kawasan parlimennya kurang daripada parlimen pro kerajaan negeri.

“Mahkamah kata itu hak kerajaan negeri, kerajaan tahu nak membelanjakan wang untuk rakyat,” jelasnya lagi.

Noh berkata demikian kepada media sejurus selesai mengadakan majlis ramah mesra bersama penduduk Putra Perdana, Dengkil, malam Rabu.

Namun begitu, Ahli Parlimen Tanjong Karang itu menjelaskan bahawa beliau tidak gentar jika perkara ini dibawa ke Parlimen.

“Pembangkang ini sahaja nak buat kecoh, kononnya nak bagi rakyat nampak mereka ni buat kerja. Kenapa tak bawa ke Parlimen, bentangkan dan berdepan dengan saya. Boleh bawa ke persidangan akan datang ni,” katanya.

Jelas Noh, kementeriannya mempunyai peruntukkan yang terhad untuk menyalurkan kepada Pihak Berkuasa Tempatan  (PBT) di seluruh negara.

“Sudah tentu kita memberi keutamaan kepada PBT yang berada di bawah parlimen dikuasai kerajaan.

“Ada juga kita beri kepada PBT yang DUN milik kita tapi Parlimennya milik pembangkang seperti di sini iaitu Dengkil BN menang dan terletak di bawah Parlimen Sepang milik pembangkang,” katanya lagi.

Walau bagaimanapun jelas Noh, PBT yang berada dalam Parlimen Pembangkang dan mahu mendapat peruntukkan ini bolehlah memohon kepada KPKT.

“Macam Ipoh Timur, mereka mohon kepada kementerian dan kita bagi.

“Cuma yang saya nak tekankan di sini, kita bagi keutamaan kepada kawasan parlimen BN untuk melunaskan janji-janji yang dibuat kepada rakyat dulu.

“Tetapi kita tidak menghalang dan pembangkang boleh mohon kepada KPKT dan kita akan pertimbangkan mengikut kepentingan keperluan,” jelasnya lagi.

Share This:




Berita Bertarikh pada 20 April 2017 10:47 am





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]