Kategori Semasa/Laporan Sidang Parlimen

Ops selamat 2017 berjaya turun kadar kematian

6 JULAI: Op Selamat 11 sempena Aidilfitri lalu adalah yang terbaik selepas berjaya menurunkan kadar kematian dan kemalangan maut dalam tempoh 15 hari pelaksanaannya yang berakhir pada 2 Jun lalu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar menjelaskan bahawa beliau berpuas hati dengan prestasi operasi tahun ini yang menggunakan kaedah penguatkuasaan penuh.

Menurutnya dalam tempoh itu jumlah kematian dicatatkan adalah 257, menurun 42 orang atau 14 peratus berbanding Op Selamat Aidilfitri tahun lalu iaitu 299 orang dan kadar kemalangan maut turut menurun kepada 239 kes berbanding 273 kes tahun lalu.

“Walaupun jumlah kemalangan meningkat iaitu sebanyak 1,420 kes kepada 22,402 kes namun, kemalangan maut dan kematian berjaya dikurangkan.

“Penunggang dan pembonceng motosikal masih lagi mendominasi jumlah kematian membabitkan 170 korban nyawa tetapi jumlah itu menurun 17 kes berbanding tahun lalu,” katanya selepas Majlis Anugerah Kontinjen dan Daerah Terbaik Op Selamat 11/2017 di Bukit Aman, hari ini.

Pada majlis itu, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya, Selangor dinobatkan sebagai daerah terbaik manakala, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis negeri terbaik Op Selamat 11/2017.

Mengulas lanjut Khalid berkata, analisis Op Selamat kali ini menunjukkan bahawa faktor terbabas sendiri menjadi punca utama yang menyebabkan kemalangan maut berjumlah 65 kes terjadi.

“Faktor lain yang menyumbang kepada kematian adalah kecuaian dan kelalaian serta gagal mematuhi peraturan jalan raya,” katanya.

Sepanjang Op Selamat 11,  sebanyak 277,832 saman dikeluarkan daripada 6,309 operasi yang dilakukan.

Selain itu, kes pecah rumah turut menurun sebanyak 165 kes atau 21 peratus kepada 629 berbanding tahun lalu  iaitu sebanyak 794 kes.

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 6 July 2017 11:42 am





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: