Kategori Berita Utama

PAC cadang tubuh Akademi Pilihanraya tingkat kredibiliti SPR

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sering kali dijadikan mangsa parti pembangkang yang tidak dapat menerima kekalahan mereka ketika pilihan raya.

SPR paling mudah untuk dijadikan kambing hitam dengan menimbulkan pelbagai persepsi bagi menjejaskan integriti, kredibiliti dan kecekapan suruhanjaya berkenaan.

Contoh paling mudah, masa Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) yang lalu, pembangkang membuat tuduhan mengenai bekalan elektrik terputus semasa pengiraan undi dan dakwaan kononnya terdapat 40,000 orang warga bangla yang mengundi tetapi sehingga kini gagal dibuktikan.

Jika difikir dengan akal yang waras, adalah tidak munasabah dakwaan tersebut tetapi bagi penyokong totok pembangkang segalanya logik.

sprpac

Aziz memberikan penerangan peranan SPR kepada Nur Jazlan

Justeru itu, Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) Datuk Nur Jazlan Mohamed mencadangkan supaya kerajaan menubuhkan Akademi Pilihanraya Malaysia dalam usaha memastikan proses pilihan raya di negara ini, dijalankan dengan lebih professional sekaligus meningkatkan kredibiliti SPR.

Kata ahli Parlimen Pulai itu, sudah sampai masanya, Malaysia mempunyai sebuah akademi pilihan raya yang dapat melatih petugas pilihan raya secara konsisten.

“Sebelum ini, kita sendiri dapat lihat bahawa proses melatih petugas pilihan raya dilakukan secara bermusim, ia juga antara penyebab mengapa ada pihak yang mempertikaikan SPR.

“SPR memerlukan petugas yang mahir dalam proses serta prosedur pilihan raya, dan ia hanya dapat dicapai sekiranya, latihan pilihan raya itu, dilakukan secara konsisten,” katanya selepas mengadakan lawatan ke Ibu Pejabat SPR di Putrajaya, Rabu.

Dalam lawatan tersebut, Jazlan telah diberikan taklimat oleh Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Yusof yang turut dihadiri Setiausaha SPR, Datuk Abdul Ghani Salleh dan Timbalan Setiausaha SPR, Datuk Nordin Che Ngah.

Selain itu, Jazlan juga meminta supaya kerajaan mempertimbangkan peruntukan yang lebih kepada SPR untuk menjalankan aktiviti kempen serta publisiti agensi berkenaan kepada masyarakat.

“Kalau kita lihat gerakan kempen dan publisiti SPR amat menyedihkan, tengok sahaja di pusat beli belah, kakitangan hanya dibekalkan dengan paying serta kerusi dan meja plastik.

“Siapa yang tertarik hendak mendengar mengenai pilihan raya atau mendaftar sebagai pengundi jika kempen SPR macam peniaga pasar malam,” katanya.

Senario ini jelasnya sudah pasti memberikan gambaran bahawa perjalanan pilihan raya di negara ini, hanya dilakukan secara bermusim sedangkan, ia sepatutnya dilakukan secara tetap serta konsisten.

Dalam lawatan tersebut, Jazlan juga turut diberi taklimat mengenai proses persempadanan semula yang dijangka akan dilakukan SPR.

Katanya, SPR sedang meneliti semua faktor dalam melakukan proses persempadanan semula dalam memastikan segenap lapisan masyarakat di negara ini, tidak terpinggir.

“Pembangkang memang mudah memanipulasikan isu persempadanan semula ini, sedangkan SPR menjalankan tugas berkenaan mengikut Perkara 13 Perlembagaan Negara.

“Perlu ada keseimbangan antara kawasan bandar, pinggir bandar dan luar bandar.  Masyarakat di ketiga-tiga kawasan ini, perlu diwakili wakil rakyat, tiada yang boleh terpinggir,” katanya.

Justeru katanya, SPR perlu diberikan masa secukupnya dalam melakukan persempadanan semula dan tidak tunduk kepada desakan mana-mana pihak dalam memastikan tanggungjawab untuk membela rakyat sentiasa dipelihara. -6/11/2013

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 6 November 2013 5:33 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: