Kategori Semasa/Laporan Sidang Parlimen

PAN letak calon lawan PAS

11 JAN: PAN tidak akan mengambil kerusi yang bakal ditandingi rakan komponen Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU 14) ini.

Sebaliknya, kata Pengarah Pilihanrayanya, parti itu akan meletakkan calon di kerusi yang ditandingi PAS dan Barisan Nasional (BN).

“Semua kerusi yang PAN bertanding adalah kerusi yang PAS bertanding. Kita tidak akan ambil kerusi DAP dan kerusi PKR.

“Kita akan bertanding di kerusi PAS bertanding kerana kitalah yang mewarisi kerusi itu sebelum ini pun,” katanya pada sidang media di Petaling Jaya hari ini.

Dalam pengumuman pengagihan kerusi pada Konvensyen PH Ahad lalu, PPBM mendapat 52 kerusi, diikuti PKR memperoleh 51 kerusi, Parti DAP (35 kerusi) dan PAN (27 kerusi), dengan keseluruhannya 165 kerusi di Semenanjung Malaysia.

Mengenai jumlah kerusi Parlimen yang diperuntukan PAN, beliau berkata, pihaknya menerima dengan hati terbuka.

Bagaimanapun, katanya, jika PAN atau mana-mana parti komponen PH merasa tidak berpuas hati dengan jumlah kerusi itu, mereka boleh selesaikan menerusi perbincangan.

“PH mengambil masa tiga hingga empat bulan untuk mencapai kata sepakat bagi pengagihan 165 kerusi ini di Semenanjung Malaysia serta baki 57 kerusi lagi di Sabah dan Sarawak masih peringkat rundingan.

“Begitu juga pengagihan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), kita jangkakan perbincangan selesai akhir bulan ini dan pada Februari boleh diumumkan,” ujar beliau.

Menurut Dr. Hatta, jumlah kerusi yang dibahagikan itu adalah mengikut keperluan dan keupayaan parti komponen di kawasan berkenaan, termasuk berapa sahaja diperolehi PAN, itulah yang pihaknya mesti dahulukan.

Jelas beliau, jika pengagihan kerusi di Sabah dan Sarawak selesai, PAN kemungkinan akan memperolehi lebih 30 kerusi.

“Lagipun, kita masuk PRU adalah untuk menang. PRU 14 ini akan jadi tumpuan pertembungan antara PH dengan BN dan kalau berlaku banyak penjuru pun mungkin ia ditandingi oleh induvidu tertentu serta kelompok kecil sahaja.

“Mereka ini yang kita kenali tidak ada kesungguhan menawarkan apa-apa kepada rakyat. Bagaimanapun, kita serah kepada rakyat untuk buat penilaian,” katanya.

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 11 January 2018 4:25 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: