Kategori Semasa/Laporan Sidang Parlimen

‘Papagomo’ bawa saksi misteri dedah watak sebenar Anwar?

28 JAN: Perbicaraan kes saman fitnah Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap Wan Muhammad Azri Wan Deris yang didakwa pihak plaintif sebagai penulis blog ‘Papagomo’ dijangka memasuki episod menarik Selasa.

Muhammad Azri selaku defendan difahamkan bakal membawa seorang saksi misteri yang bakal membuktikan beliau bukan ‘Papagomo’ selain mahu mendedahkan watak sebenar Anwar yang kononnya berperwatakkan ‘suci’ selama ini.

Pada hari pertama perbicaraan Isnin, peguambela beliau, Jasbeer Singh Kauna berkata beliau sendiri belum mengetahui dengan jelas identiti berkenaan dan menunggu hari ini untuk mendapat maklumat lanjut.

“Setakat ini kita hanya ada seorang (saksi) tetapi anak guam saya memaklumkan beliau akan memanggil seorang lagi saksi esok (Selasa).

“Saya tidak mempunyai pengetahuan berhubung identiti saksi tersebut. Anak guam saya lebih mengetahui. Kita tunggu perkembangan esok (hari ini),” kata beliau ketika ditemui bnbbc.my selepas selesai sesi perbicaraan Isnin.

Kes Papa Gomo Anwar

Pada 21 Mac 2013, Anwar, ahli Parlimen PKR Permatang Pauh memfailkan saman fitnah terhadap Muhammad Azri yang didakwanya sebagai Papagomo kerana menyiarkan empat siri artikel fitnah dalam laman web Papagomo pada 16, 17, 19 dan 20 Mac 2013.

Bagaimanapun, selain menafikan beliau adalah ‘Papagomo’, Muhammad Azri turut tidak mengakui beliau pemilik blog tersebut seperti yang didakwa oleh Anwar.

Dalam kenyataan saksi yang dibaca di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Muhammad Azri menyatakan reputasi dan imejnya tercalar dengan teruk kerana masyarakat umum kini menganggap seolah beliau sudah bersalah.

“Saya rasakan bahawa plaintif (Anwar) telah memfitnah saya dan saman ini memberi satu impak buruk terhadap integriti serta reputasi diri saya,” kata beliau.

Beliau yang tampil semalam dengan identiti sebagai pengarang portal berita online Rakyat News memberitahu mahkamah tidak pernah menerbitkan apa-apa perkataan, imej, video atau mewujudkan sebarang weblink yang memfitnah Anwar.

Penulis blog itu menambah bahawa mana-mana individu yang telah menulis atau mencatatkan pernyataan atau imej yang dimakksudkan oleh Anwar mungkin didorong oleh kepentingan terhadap masyarakat.

Muhammad Azri berkata beliau akan bergantung kepada elemen pembelaan perlindungan bersyarat, komen yang adil dan prinsip justifikasi jika menerbitkan sebarang perkataan, imej, atau video.

Perbicaraan bersambung hari ini di hadapan Hakim Rosilah Yop.-bnbbc.my

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 28 January 2014 2:22 am





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: