Kategori Berita Utama

Parlimen Machang juga kekal milik BN

23 Feb: Selepas Parlimen bagan Datoh dan Tapah, menyusul kerusi Parlimen Machang diisytiharkan kekal milik Barisan Nasional (BN) pada Ahad oleh Mahkamah Pilihanraya.

Hakim Datuk Zamani Abdul Rahim menolak petisyen pilihan raya PKR bagi membatalkan kemenangan calon BN Datuk Ahmad Jazlan Yaakub sebagai Ahli Parlimen Machang pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) Mei tahun lepas selepas mendengar bantahan awal yang difailkan BN.

Datuk Ahmad Jazlan (kiri) kekal Ahli Parlimen Machang

Datuk Ahmad Jazlan (kiri) kekal Ahli Parlimen Machang

Calon PKR yang memfailkan petisyen berkenaan Wan Zawawi Wan Ismail diperintahkan membayar kos perundangan sebanyak RM10,000 kepada Ahmad Jazlan selaku responden pertama.

Hakim Zamani turut memerintahkannya membayar kos perundangan sebanyak RM30,000 kepada Pegawai Pengurus Pilihan Raya Parlimen Machang selaku responden kedua dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) selaku responden ketiga.

Menurut Hakim Zamani, Ahmad Jazlan telah dipilih secara sewajarnya sebagai anggota Parlimen Machang pada PRU13 itu mengikut Seksyen 36(1)(a) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Ahmad Jazlan diwakili peguam Datuk Mohd Hafarizam Harun manakala Peguam Kanan Persekutuan Azizan Md Arshad mewakili responden kedua dan ketiga.

BN mengemukakan bantahan awal mengikut Seksyen 35(A) Akta Kesalahan Pilihan Raya pada Disember dan Januari lalu.

Alasan bantahan awal BN ialah antaranya petisyen dikemukakan bekas calon PKR berkenaan telah melebihi had masa enam bulan selepas PRU-13 untuk dibicarakan, dan fakta dalam petisyen itu tidak mencukupi untuk menyokong relief yang diminta pempetisyen untuk membatalkan kemenangan Ahmad Jazlan.

Pada PRU-13, Ahmad Jazlan yang juga Ketua Umno Bahagian Machang, menewaskan Wan Zawawi dengan majoriti 805 undi.

Pada 16 Julai tahun lepas, mahkamah yang sama telah membatalkan petisyen Wan Zawawi, namun Mahkamah Persekutuan membenarkan rayuannya untuk mengetepikan perintah itu.

Mahkamah Persekutuan berpendapat Hakim Mahkamah Pilihan Raya tidak sepatutnya membatalkan petisyen itu.-bnbbc.my

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 23 February 2014 3:16 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: