Kategori Berita Utama

Parlimen Malaysia serah sumbangan untuk mangsa pelarian Rohingya

25 NOV: Majlis Ahli Parlimen Barisan Nasional (BNBBC) telah memberi sumbangan tunai kepada mangsa pelarian Rohingya melalui NGO-NGO yang mengendalikan bantuan di kem pelarian Cox’s Bazar, Bangladesh.

Turut memberi sumbangan ahli parlimen PAS dan PKR yang menyertai rombongan ke kem tersebut.

Sumbangan disampaikan oleh Timbalan Speaker Dewan Rakyat Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee kepada dua NGO utama iaitu Mercy Malaysia dan MAPIM.

Menurut Ronald, kehadiran ahli-ahli patlimen Malaysia ke kem tersebut adalah hasil keputusan kabinet untuk Parlimen Malaysia menghantar rombongan melihat sendiri apa yang berlaku di Kem Kutupalong serta kem-kem yang lain.

Menurutnya, isu ini juga merupakan antara isu terpenting yang sering kali dibahas ahli parlimen kerajaan dan pembangkang, maka kali ini diberi peluang untuk melihat sendiri kesengsaraan yang dihadapi mereka.

“Ia jadi kelebihan tanpa batasan parti kerajaan atau pembangkang, kita sama-sama menyokong usaha yang dibuat kerajaan untuk memastikan isu Rohingya sampai ke peringkat antarabangsa dan kita hayati isu ini supaya sumbangan dapat diberikan dengan lebih banyak.

“Tujuan kita adalah supaya mereka yang terkeluar daripada negara mereka ini dapat dikembalikan ke tempat asal mereka,” katanya ketika berucap semasa taklimat dan majis penyerahan sumbangan di Cox’s Bazar, Bangladesh, Jumaat.

Seramai 12 ahli parlimen yang turut serta menyertai delegasi rombongan ke kem pelarian tersebut termasuklah ahli parlimen daripada BN, PKR, PAS dan PAN.

Ia diketuai Ronald sendiri dan turut disertai Datuk Abdul Aziz Kaprawi iaitu Timbalan Menteri Pengangkutan.

Antara 12 ahli parlimen yang turut serta adalah ahli parlimen Kota Tinggi Datuk Noor Ehsanuddin Harun Narrashid, ahli parlimen Bagan Serai Datuk Dr Noor Azmi Ghazali, Ahli parlimen Tenom Datuk Raime Ungi dan ahli parlimen PKR Fuziah Salleh dan ahli parlimen PAS Rantau Panjang Siti Zailah Mohd Yusoff

Jelas Ronald lagi, bantuan dari segi makanan sejumlah 25 tan kini sedang dalam proses penghantaran oleh pihak Malindo Air dan akan disalurkan terus melalui NGO berkenaan.

“Usaha Malaysia kini didengar masyarakat antarabangsa dan dibincang dalam ASEAN, OIC malah Presiden Amerika sendiri telah menyentuh isu Rohingya dalam ucapan beliau hasil usaha yang dibuat Perdana Menteri kita yang tidak henti-henti membawa isu ini ke peringkat antarabangsa.

“NGO lain yang bertapak di Bangladesh ini dengan menyumbang usaha dan tenaga memastikan lebih banyak bantuan kewangan disalurkan masyarakat antarabangsa adalah usaha murni yang harus disanjung bersama,” ujarnya lagi.

Jelas Ronald, meskipun kini sedang dalam usaha untuk meluluskan Bajet 2018, Parlimen Malaysia tetap mencari kesempatan untuk turut serta menghulurkan bantuan dan mendengar rintihan rakyat di sana walaupun dalam masa yang singkat.

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 25 November 2017 1:39 am





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: