Kategori Berita Utama

Jentera BN Pasir Salak giat hubungi pengundi luar

13 APRIL: Penyandang Ahli Parlimen Pasir Salak Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman yakin akan mempertahankan kerusinya dalam PRU14 dengan majoriti lebih besar berbanding PRU13.

Katanya, ini kerana segala gerak kerja telah dimulakan sejak menang PRU13 lagi dan usaha tersebut masih lagi diteruskan sehingga ke hari ini.

Menurut beliau, pihaknya telah menubuhkan ‘Call Centre’ sebagai persiapan terakhir bagi menghubungi pengundi luar untuk mendapatkan respon.

“Kita ada jumlah pengundi luar yang ramai, anggaran dalam 10 ribu orang, jadi saya telah melantik 10 kakitangan yang bertugas pada siang dan malam untuk menghubungi pengundi luar kita.

“Kita dah mulakan aktiviti ini sejak 2 minggu lepas dan akan berterusan menjelang PRU nanti,” katanya kepada BNBBC.my portal pada Jumaat.

Menurut Tajuddin lagi, Call Centre itu dikendalikan oleh Puteri UMNO Parlimen Pasir Salak itu sendiri.

Jelasnya hasil daripada itu ia memberi respon positif yang menunjukkan BN mampu mengekalkan kemenangan di Parlimen Pasir Salak.

“Rata-rata mereka memberi respon yang positif dan dikatakan mereka akan pulang untuk mengundi BN. Mereka tahu cara kita buat kerja macam mana, baik pengundi luar, baik pengundi dalam kawasan kita sendiri. Banyak program, strategi yang kita telah aturkan.

“Satu lagi program untuk pengundi muda yang kita rancangkan adalah satu perjumpaan akan dibuat sebelum PRU bagi menjelaskan usaha yang kita lakukan, kemajuan yang kita dah bangunkan, indsutri pertanian di sini yang makin berkembang maju, ini semua kita akan lakukan dalam sesi penerangan secara berperingkat untuk pengundi luar.

“Bagi mereka yang pengundi dalam kawasan pula, kita ada program Jalinan Rakyat sebanyak 1400 jalinan rakyat yang kita dah tubuhkan, ia dikendalikan Wanita UMNO, dan setiap jalinan memegang 30 ke 40 orang pengundi. Kita akan tanya masalah mereka, cadangan yang kita boleh ambil untuk diterima pakai, program ini kita dah laksanakan dengan lebih awal lagi,” ujarnya.

Tambah Tajuddin, segala usaha tersebut tidak langsung memberi ruang kepada pembangkang yang kononnya berkhidmat untuk rakyat hanya pada musim PRU sahaja.

“Rakyat tahu menilai, sekarang gerak kerja mereka pun kita tak nampak, yang ada orang muda sahaja pacakkan bendera, naik motor sana sini, tiada gerakan strategik seperti yang kita lakukan.

“Kalau setakat calon entah dari mana, datang bertanding, berkhidmat sekejap di parlimen Pasir Salak, lupakanlah untuk menang, lagipun saya lihat momentum mereka jauh lebih kurang berbanding pada PRU lalu,” ujarnya lagi. 

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 13 April 2018 5:55 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: