Kategori Berita Utama

Parlimen Penggal ke-6: Persempadanan semula, Akta Berita Palsu bakal diluluskan

5 MAC: Persidangan Dewan Rakyat, penggal keenam Parlimen Ke-13, yang bermula hari ini, akan membentangkan usul persempadanan semula kawasan pilihan raya.

Pembentangan dan perbahasan usul itu dijangka menjadi antara agenda utama, selain membahaskan titah ucapan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V serta akta baru iaitu Akta Berita Palsu pada persidangan yang dijadualkan berlangsung selama 20 hari bermula esok hingga 5 April depan.

Usul itu dibentangkan sebelum Parlimen dibubarkan bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Seri Ismail Mohamed Said, berkata rang undang-undang mengenai persempadanan semula disenaraikan untuk dibentangkan dalam persidangan yang sedang berlangsung.

“Ya, ia (persempadanan semula) disenaraikan (dibentangkan),” katanya menerusi sistem pesanan ringkas kepada New Straits Times Press (NSTP).

Bagaimanapun, beliau enggan mengulas lanjut mengenai jangkaan tarikh pembentangan berkenaan.

Dijangka persidangan kali ini juga bakal panas ketika Ahli Parlimen membahaskan titah menjunjung Kasih Yang di-Pertuan Agong apabila pembangkang akan sengaja mengambil kesempatan membangkitkan beberapa isu semata-mata mahu menarik dan menagih simpati rakyat di saat PRU14 bakal berlangsung bila-bila masa sahaja.

 

Ketika banyak pihak meramalkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, mungkin membubarkan Parlimen untuk memberi laluan kepada pilihan raya, agenda persempadanan semula dijangka akan dibentangkan pada minggu keempat.

Ketika ini, banyak pihak menunggu keputusan usul persempadanan semula dibahaskan dan diterima untuk dilaksanakan proses peralihannya oleh SPR.

Pada 2 Mac lalu, Mahkamah Rayuan menolak permohonan Kerajaan Selangor menghalang SPR mengemukakan Laporan Siasatan Tempatan mengenai cadangan persempadanan semula di kawasan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri kepada Perdana Menteri.

Keputusan itu dibuat selepas mendapati Dewan Rakyat mempunyai kuasa mutlak untuk memutuskan proses peralihan semula.

Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Seri Ronald Kiandee dipetik berkata, mesyuarat pertama akan bermula dengan usul menjunjung kasih yang dijangka diadakan selama lebih dua minggu.

“Menteri akan memberi makluman balas pada minggu ketiga. Perbahasan rang undang-undang dari tempat duduk terakhir dan yang baharu akan diadakan pada minggu keempat dan kelima,” katanya.

Minggu lalu, Setiausaha Dewan Rakyat, Datuk Roosme Hamzah dilaporkan berkata, persidangan Parlimen akan memasukkan Masa Soalan Menteri selama 30 minit setiap hari Selasa dan Khamis dan ucapan mengenai Perniagaan Pentadbiran Kerajaan di bawah Peraturan 17 pada jam 2.30 petang setiap hari di Dewan Khas Parlimen.

Sementara itu, notis persidangan terakhir Parlimen sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) sudah diedarkan kepada 222 ahli Dewan Rakyat sejak 19 Januari lalu.

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 5 March 2018 11:36 am





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: