Kategori Semasa/Laporan Sidang Parlimen

Parti Ekonomi Rakyat Malaysia mahu sertai BN

20 JUN: Trend parti politik ditubuhkan ketika musim menjelang pilihanraya semakin menjadi-jadi selepas Presiden Pertubuhan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (IKHLAS), Datuk Mohd Ridzuan Abdullah mengumumkan penubuhan Parti Ekonomi Rakyat Malaysia (PEKIRA) bagi memberi sokongan kepada kerajaan Barisan Nasional (BN).

Parti itu bakal dipimpin oleh beliau sebagai presiden, manakala 11 lagi ahli jawatankuasa parti akan diumumkan kemudian.

Menurutnya, ketika ini, PEKIRA masih menunggu kelulusan daripada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS).

“Kita telah membuat permohonan secara dalam talian dengan RoS pada bulan Mei lalu dan menurut RoS, ketika ini, ada 30 parti baharu sedang menunggu kelulusan.

“Jadi, kalau PPBM boleh diluluskan dalam masa dua bulan, takkan PEKIRA pun tidak boleh diluluskan,” ujar Ridzuan.

Pada masa sama, pihaknya juga sudah memohon daripada Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk menjadi salah sebuah parti komponen.

“Setakat ini kita ada kira-kira 200,000 ahli IKHLAS di seluruh Malaysia dan mereka akan menjadi ahli PEKIRA.

“Parti ini juga menumpukan kepada keahlian anak muda yang masih tidak menganggotai mana-mana parti politik atau pengundi atas pagar,” katanya, Selasa.

Ditanya sama ada PEKIRA akan bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), Ridzuan tidak dapat memutuskan perkara itu kerana masih menunggu jawapan sama ada parti itu akan diterima sebagai parti komponen dalam BN.

Bagaimanapun, Ridzuan berkata PEKIRA akan bergerak sebagai sebuah parti bebas jika hasrat parti itu tidak diterima sebagai parti komponen BN.

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 20 June 2017 6:02 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: