Kategori Semasa/Laporan Sidang Parlimen

PAS ada peluang jika persempadanan semula kekal

13 MAC: PAS yakin jika usul persempadanan semula kawasan pilihan raya diluluskan, ia akan memberi kelebihan buat parti Islam itu pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Menurut Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, segala gerak kerja yang diaturkan kini mengikut persempadanan sedia, namun tetap mempunyai strategi jika membuat pembaharuan daripada persempadanan tersebut.

“Kita dari sudut kerja kita buat kedua-dua sekali dengan mengikut persempadanan asal dan juga persempadanan baru.

“Jadi kita mengambil kira kemungkinan persempadanan baru dan gerak kerja parti jika berlaku pertukaran persempadanan kita dah sedia…kalau tidak berlaku pun kita kekal sebagaimana jentera peringkat awal,” katanya dipetik media.

Kali terakhir urusan persempadanan dibuat pada 2003 dimana Perlembagaan Persekutuan membenarkan urusan persempadanan dibuat bagi tempoh minimum setiap lapan tahun sekali atau sekiranya berlaku pengwujudan wilayah baharu atau penambahan atau pengurangan bilangan kerusi dewan.

Dalam perkembangan yang sama Tuan Ibrahim turut menjelaskan yang beliau yakin usul persempadanan semula kawasan pilihan raya akan dibentangkan sebelum parlimen dibubarkan.

“Kita yakin bahawa kali ini persempadanan akan dibawa sebab dah lama tak dibawa cuma tidak ada pertambahan Parlimen.

“Mungkin perubahan pengundi atau pertambahan itu di kerusi negeri, itu sahaja,” katanya.

Katanya lagi, PAS menetapkan sasaran boleh menang jika usul merombak 128 daripada 222 kawasan Parlimen diluluskan.

Tuan Ibrahim juga berkata PAS kini semakin diterima pengundi pelbagai kaum termasuk Cina.

“Yang pertama sekali tidak semua pengundi Cina itu DAP, itu realitinya.

“Yang keduanya DAP dah sampai siling pilihan raya umum dulu, kemungkinan pilihan raya kali ini ia akan merosot…tak mungkin DAP akan mengatasi apa yang dapat dulu, paling tinggi pun boleh kekal apa yang dia menang sebelum ini,” katanya.

Bagaimanapun Tuan Ibrahim melahirkan kebimbangan terhadap pengukuhan ekonomi negara pada masa ini yang boleh mengalih arah sokongan pengundi Cina kepada BN.

Katanya, masyarakat Cina amat mementingkan pengukuhan dan perkembangan ekonomi dan ia antara sebab utama pengundi Cina kembali menyokong BN.

“Cuma saya lihat dua kemungkinan dalam kalangn pengundi Cina iaitu sebahagaian pengundi Cina melihat faktor ekonomi merupakan perkara yang penting.

“Jadi kalau dengan suasana ekonomi tidak menentu begini berterusan tidak hairan mereka akan kembali menyokong BN,” katanya.

Namun beliau yakin meraih sokongan daripada pengundi Cina pada PRU14 berdasarkan sambutan memberangsangkan masyarakat itu kepada gabungan parti itu dalam Gagasan Sejahtera.

“Kajian yang kita buat oleh jentera parti mendapati sebahagian masyarakat Cina masih bersama dengan PAS kerana mereka melihat PAS sebuah parti yabng berpegang kepada prinsip.

“Sebab kita tahu sebahagian pengundi Cina dalam DAP rasa cukup marah bila DAP menobatkan Tun Mahathir sebagai bakal perdana menteri,” katanya.

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 13 March 2018 4:21 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: