Kategori Semasa/Laporan Sidang Parlimen

PAS ada strategi tersendiri, ‘terima kasih’ Ezam

8 MEI: Susulan surat terbuka yang diberikan Datuk Mohamad Ezam Mohd Nor kepada PAS hari ini mendapat reaksi Ketua Penerangan Dewan Ulama PAS.

Datuk Dr Khairuddin Aman Razali dalam reaksinya menegaskan PAS tidak akan sesekali mudah diperdaya dan dipermainkan oleh mana-mana parti politik kerana mempunyai strategi sendiri berlandaskan perjuangan Islam.

Sehubungan itu beliau mengucapkan ‘terima kasih’ kepada bekas Senator itu.

“Jadi kita ucapkan terima kasih kepada pandangan Ezam, tapi PAS ada pandangan dia sendiri, Insya-Allah.

“PAS ada agenda dia iaitu untuk menegakkan Islam dan PAS ada strategi dia sendiri, jadi PAS bertindak dengan strategi dan bukan PAS membiarkan dirinya dipergunakan oleh sesiapa,” katanya kepada portal Antarapos. 

Ezam hari ini menulis satu surat terbuka kepada PAS meminta parti itu berwaspada dengan UMNO kerana dikhuatiri mempunyai motif tertentu apabila dilihat cuba berbaik-baik dengan PAS kebelakangan ini.

Ezam mendakwa cubaan UMNO berbaik-baik dengan PAS adalah demi munutup skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Khairuddin dalam reaksinya bagaimanapun melahirkan rasa kagum dan mengucapkan tahniah atas usaha keras Ezam melawan rasuah, dan menganggap bekas pemimpin UMNO itu sebagai ‘rakan’ kerjasama yang baik dalam menentang rasuah di negara ini.

Namun tegas Ahli Parlimen PAS Kuala Nerus itu, PAS tidak akan sesekali terpengaruh dengan mana-mana parti politik kerana mempunyai asas perjuangan yang kukuh.

“Kita tidak mengkritik Ezam, kita mengucapkan terima kasih kepada Ezam, dan tahniah kerana Ezam tidak bersekongkol bersama dengan UMNO memperjuangkan rasuah, kita alu-alukan tapi kita ada cara kita sendiri dan strategi PAS itu sendiri sebab PAS tidak akan ikut dengan strategi orang untuk pastikan PAS yang bawa Islam boleh berjaya dalam politik tanah air, InsyaAllah.

“Itu pandangan dan kita alu-alukan pandangan, setiap orang boleh beri pandangan dan Ezam bukan musuh kita, Ezam adalah rakan kita InsyaAllah dalam perjuangan untuk memastikan negara bersih daripada rasuah tetapi dengan Islam,” katanya lagi.

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 8 May 2017 11:38 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: