Kategori Berita Utama

PAS boleh bekerjasama UMNO jika tidak menjejaskan BN- Khairy

15 MEI: Impian untuk melihat UMNO dan PAS bersatu boleh menjadi kenyataan dengan syarat kerjasama ini tidak akan menjejaskan hubungan UMNO dengan parti-parti politik di dalam Barisan Nasional (BN)

Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin menjelaskan, UMNO tidak menolak untuk bakal bekerjasama dengan PAS, tetapi ianya perlu diteliti dan diperhalusi secara mendalam sebelum kerjasama politik dibentuk.

“Sebarang kerjasama politik dengan parti PAS mesti diperhalusi secara mendalam dari segi apakah asas kerjasama. Itu yang paling penting.

“Kalau asas kerjasama itu adalah untuk kita terus berjuang atas​ isu besar babitkan negara yang ada kaitan dengan orang Melayu dan Islam, ia tidak menjejaskan hubungan kita dengan rakan kita dalam BN, saya rasa kita boleh bincang dan terokai cadangan tersebut,” katanya.

Khairy yang juga Menteri Belia dan Sukan berkata demikian kepada media pada Majlis Penyampaian Anugerah Perdana Belia Negara 2017, di Putrajaya, Isnin.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi telah merasmikan majlis tersebut dan menyampaikan anugerah kepada para pemenang.

Menurut Khairy lagi kerjasama UMNO dan PAS ini merupakan satu usaha positif bagi kedua-dua parti terbesar orang Melayu, namun beliau tidak menolak faktor menjaga hubungan kekeluargaan parti-parti komponen dalam BN adalah lebih penting.

“Yang paling penting adalah hubungan kita dalam BN. Kita tidak mahu sebarang kerjasama dengan PAS walaupun saya anggap cadangan itu positif namun jika jejaskan hubungan kita dengan parti komponen kita dalam BN, itu kita utamakan,” katanya.

Dalam pada itu, Khairy menegaskan UMNO dan BN tidak kisah pada PRU ke-14 nanti melibatkan pertembungan 2 atau 3 penjuru di kebanyakan kerusi kerana telah bersedia menghadapi sebarang kemungkinan.

“Dalam persiapan kita dalam menghadapi PRU, saya sentiasa tekankan senario dimana kajian dan unjuran bagi PRU akan datang dan sokongan terhadap kita dan sebagainya. Ia mesti satu lawan satu, tidak ada simulasi tiga penjuru.

“Jika kita buat simulasi tiga penjuru maka kita akan berada dalam satu situasi terlalu selesa sebab tidak penjuru itu kemungkinan Besar berdasarkan kepada PARK Sungai Besar dan Kuala Kangsar menguntungkan kita dan yang pecah mereka,” katanya.

Ketua Pemuda UMNO itu juga menegaskan parti itu menggunakan strategi untuk menganggap semua kerusi akan menghadapi pertembungan 2 penjuru.

“Bagi saya itu bukanlah simulasi yang perlu kita laksanakan. Ia akan memberikan maklumat yang salah. Kita kena anggap kerusi satu lawan satu.

“Berdasarkan kepada satu lawan satu, kita sudah buat segala persiapan bagi menang kawasan itu.

“Bagi saya tiga penjuru tidak begitu diutamakan. Kita harus anggapan dan andaikan itu bukan isu,” jelasnya lagi.

Justeru itu, beliau berkata, jentera UMNO telah dipersiapkan untuk menghadapi situasi 1 lawan 1 pada PRU akan datang.

“Jika berkesudahan dengan tiga penjuru, kita tidak gusar. Tapi kalau tiga penjuru segala persiapan kita telah lakukan untuk satu lawan satu.

“Saya percaya BN telah lakukan persiapan satu lawan satu. Jika tiga penjuru, itu tiada kaitan dengan kita,” ujarnya.

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 15 May 2017 3:30 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: