Kategori Semasa/Laporan Sidang Parlimen

PAS perkenal bajet negara bertunjangkan syariah

26 OKT: Sehari selepas Pakatan Harapan membentangkan belanjawan alternatif 2018, PAS pula mencadangkan belanjawan tersendiri yang bertunjangkan syariah.

Walaupun 77 halaman lebih nipis berbanding belanjawan PH, Bajet PAS yang dibentangkan melalui Pemuda mengemukakan cadangan luar biasa seperti mengecilkan saiz kementerian, memperkenalkan cukai baharu untuk orang kaya, elaun untuk pasangan kakitangan kerajaan dan kaedah pemilikan bersama Rakyat-Swasta-Kerajaan dalam projek prasarana.

Ketua Pemuda PAS Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata tema “Pembangunan Demi Kelestarian Generasi Masa Depan” menyentuh 6 masalah utama pentadbiran Barisan Nasional iaitu tadbir urus tidak berkesan, pengangguran dan masalah sosial, beban golongan berpendapatan 40% terendah (B40) dan 40% pertengahan (M40), hutang isi rumah, kos sara hidup, dan perumahan.

PAS memberi perhatian kepada penjimatan operasi kerajaan melalui pengecilan saiz kementerian, penggabungan kementerian, serta pengurangan elaun perdana menteri, timbalan perdana menteri, menteri dan timbalan menteri.

“Terdapat 30 kementerian yang mana boleh dikecilkan. Kalau kita kecilkan, maka boleh jimatkan bajet kerajaan,” kata Khalil pada pembentangan Bajet 2018 (Alternatif) dari Perspektif DPPM sempena pembentangan Bajet 2018 di Hotel TH, Kuala Terengganu hari ini.

“Saya tengok gaji menteri ini tidak kurang dari RM15,000 sebulan. Maka kerajaan boleh jimat tidak kurang RM5 juta setahun.”

Dari segi perbelanjaan pembekalan, PAS mahu penjimatan diutamakan berbanding kelonggaran pekeliling, manakala dari segi perbelanjaan pembangunan pula, PAS mahu pemilikan bersama Rakyat-Swasta-Kerajaan atau People-Private-Goverment (PPG) menjadi kaedah pembiayaan alternatif khususnya bagi projek pembangunan yang mempunyai aliran masuk tunai.

PAS meletakkan nisbah pembangunan dan pengurusan pada 17:83 dan perbelanjaan emolumen meningkat sehingga mencecah 10% setahun.

Pelan jangka masa pendek PAS untuk tahun 2018 adalah GST berkadar sifar sehingga dimansuhkan dalam tempoh 3 tahun, memansuhkan cukai beberapa barangan keperluan asas rakyat, dan digantikan dengan cukai yang tidak menindas golongan berpendapatan rendah.

“Kita perkenalkan Cukai Simpanan Korporat, mereka ini orang kaya, cukai yang diambil dari mereka ini boleh untuk kita tinggikan dan naikkan lagi. Ia diajar oleh Islam. Antara cukai lain ialah Cukai Barangan Mewah,” kata Khalil.

Menurut dokumen Bajet PAS, barang berklasifikasi mewah akan dikenakan cukai 10%.

“Orang miskin tidak gunakan barangan mewah, hanya orang kaya. Kadarnya boleh dinaikkan untuk menampung kos barangan keperluan asas yang dimansuhkan cukainya,” katanya Khalil.

PAS juga mahu memperkenalkan elaun khas kepada pasangan kakitangan kerajaan yang tidak bekerja dan mempunyai anak bawah usia 18 tahun atau yang menuntut di institusi pengajian tinggi, elaun bulanan nelayan kepada 60,000 nelayan yang layak, elaun bulanan kepada pengusaha padi, meningkatkan elaun musim hujan untuk pekebun getah dan insentif tahun pertama kepada penternak dan pekebun baru.

Turut dicadangkan bonus sebulan setengah untuk kakitangan sokongan kerajaan, sebulan bagi pengurusan dan setengah bulan untuk pengurusan tertinggi.

Beberapa insentif yang diperkenalkan Barisan Nasional (BN) seperti Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dan e-kasih diteruskan namun beberapa aspek akan ditambah baik.

“Program kesedaran perlu diberikan untuk peningkatan produktiviti dan mengurangkan kebergantungan kepada dana kerajaan semata-mata.”

Rebat cukai pendapatan RM400 juga akan dinaikkan bagi pendapatan boleh cukai bawah RM40,000.

Subsidi elektrik dan gas memasak akan diteruskan, sementara caruman Perkeso pula adalah secara sukarela bagi semua kategori kecuali JUSA ke atas.

Levi pekerja asing akan ditingkatkan dalam sektor tertentu bagi menyeimbangkan nisbah pengambil pekerja tempatan, Cukai “real-property gain tax” akan ditingkatkan sehingga 80% dan perlanjutan tempoh kepada 7 tahun bagi menghalang spekulasi harga rumah, dan menghadkan pemilikan rumah kediaman kepada 2 unit sahaja di bandar-bandar utama.

“PR1MA, PPR, RMR diteruskan dengan sasaran 25,000 unit dengan harga yang lebh rendah.”

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 27 October 2017 12:18 am





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: