Kategori Berita Utama

PAS Pusat bermesyuarat bincang hubungan PKR Selangor masa terdekat

13 MEI: Jawatankuasa PAS Pusat akan mengadakan mesyuarat dalam masa terdekat untuk membincangkan mengenai penglibatan Exco PAS dalam kerajaan negeri Selangor.

Menurut Ketua Penerangan Dewan Ulama PAS Pusat, Datuk Khairuddin Aman Razali, mesyuarat tersebut akan diadakan dalam masa terdekat dimana tarikhnya akan diputuskan sendiri oleh Setiausaha PAS iaitu Datuk Takiyuddin Hassan.

Setakat ini, jelasnya lagi Exco PAS di Selangor kekal bersama pentadbiran Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sehingga keputusan sebaliknya ditentukan oleh Jawatankuasa Kerja itu.

“Jawatankuasa kerja PAS Pusat akan bermesyuarat bagi menentukan tindakan politik termasuk melibatkan penglibatan PAS dalam kerajaan selangor pasca terbatalnya tahaaluf siyaasi dengan PKR sebagaimana diputuskan oleh Majlis Syura Ulama.

“PAS masih kekal dalam Kerajaan Selangor pasca putusnya tahaaluf siyaasi dengan DAP 2 tahun yang lalu dan sehingga hari ini masih lagi kekal sehingga diputuskan sebaliknya oleh Jawatankuasa Kerja PAS Pusat,” katanya ketika dihubungi BNBBC.my portal pada Sabtu.

Khairuddin berkata demikian bagi menjawab tohmahan banyak pihak yang mendakwa PAS masih lagi ingin kekal bersama PKR dalam pentadbiran kerajaan negeri Selangor meskipun sudah memutuskan hubungan tahaluf siyasi dengan PKR.

Bagaimanapun Khairuddin mengingatkan Selangor bukan hak milik mana-mana parti kerana ia adalah hasil bersama pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13.

“Jika mereka termasuk DAP tidak berpuashati dengan PAS mereka boleh merujuk kepada Menteri Besar atau Sultan Selangor bagi membubarkan DUN Selangor,” tambahnya.

Mengulas lanjut, Khairuddin berkata keputusan mesyuarat Jawatankuasa PAS Pusat bukan bermakna Majlis Syura tiada fungsi dalam menetapkan perihal antara PAS dan PKR.

Namun isu hubungan politik antara kedua-dua parti itu merupakan isu khas yang memerlukan PAS Pusat membuat keputusan lebih jelas mengenai perkara itu.

“Majlis Syura telah memutuskan hubungan tahaaluf dengan PKR. Ia keputusan dasar. Ia melibatkan semua negeri seluruh Malaysia. Tindakan politik pula adalah tugasan AJK PAS Pusat.

“Isu Selangor pula adalah isu penglibatan PAS dalam sebuah kerajaan yang telah sedia PAS menjadi sebahagian pemiliknya. Itu isu khas,” ujarnya lagi.

Share This:




Berita Bertarikh pada 13 May 2017 10:47 am





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]