Kategori Semasa/Laporan Sidang Parlimen

Rakyat tak iktiraf Pakatan Harapan Selangor

9 JULAI: PAS menegaskan bahawa rakyat dan pengundi di Selangor tidak pernah mengiktiraf Pakatan Harapan sebagai pentadbiran kerajaan negeri.

Pesuruhjaya PAS Selangor, Sallehen Mukhyi berkata kemenangan pada PRU-13 lalu adalah mandat diberikan oleh rakyat negeri kepada Pakatan Rakyat (PR) yang ditunjangi PAS, PKR dan DAP.

“Sebab itu Selangor masih kekal ditadbir oleh tiga parti walaupun dari sudut hubungan politiknya di luar sudah tidak ada hubungan, tapi dari segi semangat mentadbir masih mendokong aspirasi dan manifesto PR yang kita bina sejak PRU13 lalu,” lapor sebuah portal berita.

Beliau mengulas kenyataan Menteri Besar Selangor, Datuk Mohamed Azmin Ali yang dilaporkan berkata bahawa Pakatan Rakyat masih wujud di Selangor.

Susulan itu, Sallehen yang juga ADUN Sabak turut menyelar kenyataan beberapa pemimpin Pakatan Harapan seperti Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution dan Sekretariat Pemuda Pakatan Harapan Sabah yang mendakwa Pakatan Rakyat di Selangor sudah berkubur.

“Pemimpin Pakatan Harapan termasuk Razeef seperti bermimpi kerana realitinya Pakatan Harapan tiada tempat dalam pentadbiran Selangor pada hari ini.

“Kalau Razeef kata Pakatan Rakyat dah berkubur, sebenarnya yang tak diiktiraf di Selangor ialah Pakatan Harapan, walaupun wujud tapi Pakatan Harapan tak ada tempat mentadbir Selangor hari ini sebenarnya,” kata bekas EXCO Selangor itu.

Sementara itu, Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menyokong kenyataan Azmin itu yang disifatkan rasional.

“Parti lain seperti PAN dan sebagainya tidak termasuk dalam komponen itu kerana tidak terbabit dalam PRU-13. Mereka hanya tumpang syafaat sahaja,” katanya selepas Majlis Jamuan Hari Raya Aidilfitri Pas Pusat di Kompleks Al-Makmur Kerdau, Temerloh semalam.

Menurut bekas ADUN Jengka itu, PAS tidak mempedulikan pengiktirafan serta layanan DAP terhadap mereka.

“Kami akan terus memberikan komitmen dalam kerajaan negeri sehinggalah pilihanraya umum akan datang,” katanya lagi.

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 9 July 2017 6:12 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: