Kategori Berita Utama

PAS Selangor lebih takut hilang kepentingan daripada arahan parti

12 MEI: Kepimpinan PAS Selangor disifatkan masih berdegil untuk menamatkan kerjasama politik dengan PKR kerana masih mengutamakan kepentingan peribadi daripada mengikut ketetapan Majlis Syura Ulama parti tersebut.

Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor Tan Sri Noh Omar mendakwa pendirian PAS Selangor yang tidak selari dengan kehendak PAS pusat menunjukkan seolah-olah mereka takut untuk melepaskan kepentingan dalam kerajaan negeri termasuklah jawatan Exco yang disandang oleh tiga orang wakilnya ketika ini.

Noh yang juga Menteri Kesejahteraan Bandar dan Perumahan Kerajaan Tempatan menegaskan, secara prinsipnya PAS sepatutnya perlu keluar daripada kerajaan negeri kerana tidak lagi mempunyai hubungan dengan PKR kerana bekas rakan politik mereka itu didapati telah mengkhianati prinsip tahaluf siyasi menurut pertimbangan hukum syarak dan akhlak Islam.

“Maka dalam soal ini mana satu yang nak diiikut oleh Pas Selangor?

“Majlis Syura Ulama PAS saya difahamkan telah mendapati PKR mengkhianati PAS dan apakah mereka mahu terus berada dalam kerajaan negeri yang dipimpin oleh parti (PKR) yang dianggap pengkhianat itu,” tegasnya.

Beliau berkata demikian kepada media ketika ditemui pada Kejohanan Sukan Kerajaan Tempatan Malaysia, di Seksyen 13 Shah Alam, Jumaat.

Kejohanan itu telah dirasmikan oleh Ketua Pengarah Jabatan Kerajaan Tempatan, Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan
dan Kerajaan Tempatan, Abu Bakar Johar.

Ahli Parlimen Tanjong Karang itu turut menyamakan tindakan PAS dengan analogi seorang suami yang sanggup dilihat dayus kerana sayangkan isterinya yang telah curang.

“Ia sama macam hubungan suami isteri…jika si isteri itu telah curang dan mengkhianati suaminya, tetapi si suami itu masih mahu terus bersama lagi dengan isterinya.

“Bukankah itu dayus?…sama juga kalau sudah bercerai talak tiga, mana lagi boleh duduk bersama.

“Dalam isu PAS ini, mana maruahnya parti itu. Apakah PAS mahu menjadi dayus hanya kerana mahu terus mendapat kepentingan dalam kerajaan negeri,” katanya

Pada masa sama, Noh juga mempersoalkan alasan PAS Selangor yang kononnya menghormati mandat
rakyat yang diberikan kepada PAS pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) untuk kekal menjadi sebahagian ADUN yang membentuk kerajaan negeri.

Ujarnya, mandat rakyat PRU13 yang menjadi prinsip PAS Selangor sekarang, sepatutnya menjadi hak Menteri Besar terdahulu iaitu Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang dipilih sebagai Menteri Besar pada ketika itu.

Bagaimanapun, PAS sendiri tidak menghormati mandat rakyat apabila terlibat dalam melantik Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Antarabangsa, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sebagai Menteri Besar selepas PKR berjaya menggulingkan Abdul Khalid daripada jawatan itu.

“Saya fikir, adalah lebih baik PAS keluar daripada kerajaan Selangor dan bersama-sama dengan UMNO dalam barisan pembangkang di negeri ini,” ujarnya.

Semalam PAS memutuskan untuk menamatkan kerjasama politik dengan PKR.

Keputusan PAS itu memberi kesan teruk dan menyebabkan kestabilan Kerajaan Negeri Selangor goyah.

Namun, penjelasan Ketua Pesuruhjaya PAS Selangor yang baru sedikit sebanyak dapat meredakan kegundahan kerajaan Azmin buat sementara ini.

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 12 May 2017 5:42 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: