Kategori Semasa/Laporan Sidang Parlimen

PAS sependapat PKR tidak perlu pilihan raya mengejut

20 SEPT : Nampaknya bukan sahaja PKR menolak untuk diadakan pilihan raya mengejut malah PAS juga menolak cadangan tersebut selepas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengusulkan persempadanan semula.

Timbalan Pesuruhjaya PAS Selangor Datuk Yunus Hairi menegaskan, kerajaan negeri masih mempunyai mandat yang berbaki lebih kurang dua tahun lagi untuk melaksanakan janji-janji dalam manifesto sewaktu pilihan raya lalu.

Dr Ahmad Yunus Hairi

Dr Ahmad Yunus Hairi

“Mandat daripada rakyat cukup jelas kepada kerajaan yang dipilih, ketiga-tiga parti ketika itu adalah untuk lima tahun. Jadi mesej yang kita nak bawa kepada rakyat bahawa banyak (janji) yang belum selesai lagi dan tambahan daripada itu,” katanya selepas menghadiri majlis perasmian Bengkel Perbincangan Berkumpulan Peringkat Daerah Kuala Langat dan Sepang, Selasa.

Ketua Pembangkang DAP Lim Kit Siang sebelum ini membuat kenyataan bahawa Selangor perlu segera mengadakan pilihan raya mengejut setelah SPR mengusulkan persempadanan semula di negeri Selangor.

Jelas Kit Siang, langkah itu akan membolehkan UMNO-Barisan Nasional (BN) kembali berkuasa di Selangor.

Mengulas mengenai itu, Menteri Besar Datuk Seri Azmin Ali semalam berkata tiada keperluan untuk kerajaan negeri itu mengadakan pilihan raya lebih awal.

Dakwa Azmin, rakyat negeri ini memberikan mandat kepada Pakatan Rakyat untuk mentadbir Selangor selama lima tahun, pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) lalu dan ia tidak boleh dikhianati sewenang-wenangnya.

Malah Yunus menyifatkan pendirian Azmin itu adalah yang terbaik.

“Yang penting adalah pendirian kerajaan negeri di mana Menteri Besar pun sudah membuat kenyataan bahawa tidak perlu (diadakan Pilihan Raya Mengejut), saya ingat itu keputusan yang terbaik,” kata Yunus dalam memberikan rekasi terhadap kenyataan Azmin.

Tambah beliau lagi, apa yang lebih penting pada waktu ini adalah pakatan pembangkang perlu mencapai persefahaman formula satu lawan satu untuk menghadapi BN pada pilihan raya akan datang.

“Kalau masih lagi kita tidak dapat menghasilkan formula satu lawan satu, saya ingat kita tidak akan kemanalah.

“Yang penting adalah bagaimana formula satu lawan satu yakni blok pembangkang lawan blok Umno BN boleh berlaku. Itu peluang yang terbaik untuk kita bertanding dalam pilihan raya akan datang,” ujarnya.

Sementara itu Yunus ketika ditanya mengenai pendirian PAS berhubung persempadanan yang dicadangkan SPR, katanya parti itu juga tidak bersetuju kerana ia bakal memberi kemenangan mudah kepada BN.

 

SPR menerusi Pengerusinya Datuk Seri Mohd Hashim Abdullah berkata pihak berkelayakan dalam bidang perundangan boleh membuat bantahan sehingga 14 Oktober depan dan bukannya membuat tuduhan melulu.

Dalam usul persempadanan semula itu, SPR mencadangkan usaha penamaan semula 12 kerusi Parlimen dan 34 kerusi DUN di seluruh negara berdasarkan kesesuaian penambahan kawasan dalam sesebuah kawasan.

Antaranya Selangor (5), Perak (3), dan masing-masing satu kerusi di Kedah, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Negeri Sembilan dan Johor.

Share This:




Berita Bertarikh pada 20 September 2016 2:02 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]