Kategori Semasa/Laporan Sidang Parlimen

Pasangan suami isteri bersekongkol dengan pegawai Imigresen ditahan

15 DIS: Susulan kes penyeludupan rakyat Bangladesh, menjadikan lima lagi ditahan termasuk dua kakitangan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).

Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, penangkapan ini menjadikan jumlah keseluruhannya kepada tujuh orang bagi membantu penyiasatan kes penyeludupan rakyat Bangladesh menerusi Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet mengenai Pekerja Asing dan Pendatang Asing Tanpa Izin di Putrajaya

“Pasangan suami isteri itu adalah sindiket luar yang mana suami adalah rakyat tempatan manakala isterinya warga asing yang dipercayai bersekongkol dengan dua kakitangan Imigresen terbabit.

“Setakat ini tujuh individu yang sudah ditangkap Imigresen dengan kerjasama polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM),” katanya.

Sehubungan itu menurut Zahid, kerajaan mengambil tindakan drastik dengan memindahkan kira-kira 40 peratus daripada kira-kira 1,500 orang kakitangan Jabatan Imigresen di KLIA dengan kakitangan dari lain-lain pejabat.

“Kita harus mengambil tindakan dengan segera bagi membersihkan imej Jabatan Imigresen,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet mengenai Pekerja Asing dan Pendatang Asing Tanpa Izin (JKKPA-PATI) di Putrajaya, Jumaat.

Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri mahu Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali meneruskan pemantauan dan tindakan tegas bagi membendung masalah itu.

“Kita harap apa yang dilakukan Ketua Pengarah (Imigresen) ini dapat memberikan suatu gambaran bahawa kerajaan cukup serius dalam menangani semua permasalahan yang berlaku.

“Aspek begini harus diberikan penekanan biarpun satu dua individu yang terbabit maka kita tidak pernah berkompromi untuk mengambil tindakan perundangan dan dalaman,” katanya.

 

 

Sementara itu Mustafar memaklumkan kakitangan Imigresen di KLIA yang terbabit dipindahkan ke beberapa negeri dan bahagian di ibu pejabat di Putrajaya.

“Pertukaran dilakukan kerana ada yang terbabit dengan isu bolos berkenaan dan ada juga sebahagian yang memohon untuk pertukaran sebelum ini,” katanya.

Sebelum ini, media mendedahkan, buruh haram warga Bangladesh diseludup masuk ke negara ini melalui KLIA setiap hari diuruskan empat sindiket besar beroperasi di Dhaka, Bangladesh, selain di ibu kota.

Sindiket itu yang didalangi warga Bangladesh dipercayai memperoleh RM5.2 juta setahun, hasil daripada aktiviti menyeludup rakan senegara melalui KLIA.

Kumpulan itu dikatakan mengenakan bayaran antara RM15,000 hingga RM20,000 setiap seorang kepada beberapa pihak berkuasa terutama anggota dan pegawai JIM dan pegawai Kedutaan Malaysia di Dhaka.

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 15 December 2017 4:23 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: