Kategori Semasa/Laporan Sidang Parlimen

Pasukan keselamatan perlu tegakkan prinsip wala’

4 JUN: Pegawai dan anggota pasukan keselamatan perlu menegakkan prinsip wala’ atau kesetiaan bagi memastikan kemakmuran negara terus terpelihara daripada sebarang ancaman.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, umum mengetahui, sesebuah tamadun itu boleh hancur jika prinsip berkenaan tidak diamalkan.

“Contoh terdekat adalah peristiwa di Sabah pada Februari 2013 yang mana ada orang mengkhianati rakan mereka. Dia merupakan anggota pasukan keselamatan tetapi membocorkan rahsia kumpulan kepada musuh.

“Bila pasukan polis masuk ke sebuah perkampungan air, musuh menunggu dan mengakibatkan enam anggota polis mati dengan cara yang cukup kejam.

“Ini berlaku kerana ada antara kita sanggup mengkhianati negara dan rakan-rakan sendiri dan akibatnya enam anggota polis kita terkorban,” katanya dalam majlis moreh dan penyampaian sumbangan kepada orang kurang upaya dan saudara baharu di Dewan Serbagunan Sri Panching, Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) Kem Batu 10, Kuantan malam tadi.

Yang hadir sama Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob; Panglima 4 Briged Mekanize, Brigadier Jeneral Datuk Md. Din Abu dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Manis, Datuk Khairuddin Mahmud.

Dalam majlis itu, seramai 29 orang anak istimewa dan 11 orang saudara baharu yang terdiri daripada anak-anak tentera dan penjawat awam Kementerian Pertahanan menerima sumbangan yang disampaikan oleh Perdana Menteri.

Terdahulu, beliau turut menunaikan solat isyak dan tarawih bersama 1,000 jemaah di surau Al-Ikhwan, RKAT, Kem Batu 10.

Najib berkata, keamanan negara bukan dikecapi secara kebetulan namun atas usaha pasukan keselamatan iaitu Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang menjadi tonggak utama pertahanan negara.

Beliau berkata, walaupun belum terjadi tragedi serangan seperti di negara jiran yang menyebabkan ramai nyawa terkorban, namun pasukan keselamatan harus bersedia berdepan dengan ancaman seumpama itu.

“Tingkatkan kekuatan dengan meningkatkan profesionalisme, tindakan bersepadu dan risikan maklumat. Apabila kita bertindak sedemikian maka kita boleh atasinya,” katanya.

Dalam pada itu, Perdana Menteri memberi jaminan akan menjaga kebajikan pasukan keselamatan mengikut kemampuan kerajaan

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 4 June 2017 10:27 am





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: