Kategori Semasa/Laporan Sidang Parlimen

Pasukan peringkat tinggi sudah temui keluarga mangsa di Beijing

21 MAC: Pasukan peringkat tinggi dari Malaysia tiba di Beijing, China pada Jumaat dan menemui anggota keluarga penumpang Penerbangan Malaysia (MAS) MH370 untuk memberi taklimat kepada mereka mengenai situasi kehilangan serta status operasi mencari dan menyelamat (SAR) pesawat yang hilang sejak 8 Mac lalu itu.

Diketuai oleh Komander Operasi Udara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Leftenan Jeneral Datuk Seri Ackbal Abdul Samad, pasukan itu turut dianggotai wakil Pejabat Perdana Menteri, Jabatan Penerbangan Awam dan MAS.

Hadir sama dalam taklimat itu ialah Duta Malaysia ke China Datuk Iskandar Sarudin.

Leftenan Jeneral Datuk Seri Ackbal Abdul Samad

Leftenan Jeneral Datuk Seri Ackbal Abdul Samad

Dalam taklimatnya Ackbal berkata, kerajaan Malaysia telah mengambil tindakan serta-merta sejak awal lagi bagi mengesan pesawat Boeing 777-200ER MAS itu.

Beliau menegaskan kepada keluarga mangsa bahawa kerajaan Malaysia meletakkan nyawa penumpang pesawat MH370 mengatasi perkara lain dan sedang berusaha sebaik mungkin bagi mengesan pesawat serta menyelamatkan penumpang.

“Ini termasuk mengumpulkan pakar-pakar berkaitan, menganggarkan kelajuan pesawat selain banyak perkara lain yang dipertimbangkan,” katanya sambil menjelaskan bahawa semua proses itu mengambil masa panjang.

Menurutnya, usaha mendapatkan bacaan kasar data satelit berdasarkan analisis awal Sistem Pelaporan dan Komunikasi Pesawat (ACARS) turut dilaksanakan.

Pesawat MH370 itu membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal.

Ia hilang selepas sejam berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada jam 12.41 pagi 8 Mac lalu dan tidak mendarat di Beijing pada jam 6.30 pagi hari yang sama seperti dijadualkan.-bnbbc.my

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 21 March 2014 9:00 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: