Kategori Berita Utama

PBB: Sarawak kekal setia bersama Malaysia

10 FEB: Perhimpunan Agung Ke-14 Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) di Pusat Konvensyen Borneo, Kuching bermula semalam menyaksikan, Ketua Menteri Sarawak, Datuk Abang Johari Abang Openg terus diberikan kepercayaan sebagai Presiden.

Beliau mengambil alih jawatan itu daripada Allahyarham Tan Sri Adenan Satem yang meninggal dunia akibat komplikasi jantung, 11 Januari tahun lalu.

Ketua Menteri Sarawak, Datuk Abang Johari Abang Openg (tengah), Datuk Amar Douglas Unggah Embas (kiri) dan Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan (kanan).

Manakala jawatan Timbalan Presiden I dan Timbalan Presiden II disandang oleh dua Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Unggah Embas dan Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan sebagai mewakili sayap Pesaka dan Bumiputera parti.

Selain itu, PBB yang juga parti politik kedua terbesar di Malaysia cukup dikenali dengan struktur organisasi tersusun, termasuk penyediaan barisan pelapis bagi meneruskan warisan kepemimpinan parti yang ditubuhkan sejak 45 tahun dahulu.

Berkongsi kejayaan itu, Awang Tengah menjelaskan bahawa parti berkenaan sentiasa menerapkan disiplin, ketaatan dan kesetiaan untuk dihayati seluruh ahli dari peringkat akar umbi hingga kepemimpinannya.

“Ia bukan sekadar pegangan, sebaliknya sebagai perlambangan tradisi PBB sejak penubuhannya pada 5 Januari 1973, melalui penggabungan Parti Pesaka Anak Sarawak (PESAKA) dengan Parti Bumiputera Sarawak (BUMIPUTERA).

“Kita dididik agar sentiasa patuh kepada ketua. Mesti ada restu. Jika perlu berkorban demi kepentingan dan kelangsungan parti, kita perlu melakukannya dengan hati terbuka,” katanya dalam wawancara khas bersama Berita Harian.

ADUN Bukit Sari itu juga menjelaskan bahawa PBB bukan sekadar parti politik semata, sebaliknya institusi kepemimpinan berjaya membentuk kelompok pemimpin berwibawa sehingga tidak pernah ketandusan pelapis.

“Ada sudah menjadi Menteri, Timbalan Menteri (Persekutuan), Menteri Muda (Kabinet Sarawak), ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri) dan Ahli Parlimen. PBB juga yang pertama menampilkan calon wanita (dalam pilihan raya). Ini proses kematangan ke arah mewujudkan kesinambungan legasi kepemimpinan dinamik.

Menurutnya, PBB terus disegani oleh rakyat jelata dalam usaha menuntut kembali kepentingan Sarawak dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“Ini hak kita seperti termaktub dalam MA63. Berlandaskan Perlembagaan, kita hanya mahukan ia dihormati.

“Kita bukan mahu bawa Sarawak keluar dari Malaysia. Tan Sri Adenan Satem pernah berkata Sarawak bersama membentuk Malaysia dan sampai bila-bila tetap bersama Malaysia,” kata Awang Tengah.

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 10 February 2018 12:33 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: