Kategori Semasa/Laporan Sidang Parlimen

PDP mahu kuota 4 kerusi parlimen dikekalkan

13 NOV: Presiden Parti Demokratik Progresif (PDP) Datuk Seri Tiong King Sing mahu memastikan ‘kuota’ empat kerusi Parlimen diperuntukkan kepada parti itu dikekalkan pada PRU14.

Ini kerana kedudukan PDP atau sebelum ini Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) adalah parti komponen Barisan Nasional (BN) Sarawak.

Selain kerusi Bintulu yang diwakili King Sing, tiga lagi kerusi Parlimen milik parti sebelum ini ialah Baram (Anyi Ngau), Mas Gading (Anthony Nogeh Gumbek) dan Saratok (Tan Sri William Mawan Ikom).

Bagaimanapun, Mawan yang juga Pengerusi Lembaga Lada Malaysia (MPB) dan bekas Presiden SPDP bertindak keluar dari parti itu dan menubuhkan parti baharu, Parti Tenaga Rakyat Sarawak (TERAS).

King Sing menyatakan keyakinannya keempat-empat kerusi tradisi itu pasti dipertahankan dalam PRU14.

Mengulas kedudukan Mawan, beliau memberi isyarat jelas bahawa Mawan tidak akan dikekalkan di Parlimen Saratok yang disandangnya ketika ini.

“Mengenai kedudukan Parlimen Saratok, ia adalah milik kita. Mengenai kedudukan beliau (Mawan), biarlah Majlis Tertinggi PDP membuat keputusan mengenainya,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Pelancaran Nama dan Logo PDP, di sini malam tadi oleh Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas sebagai mewakili Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg merangkap Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sarawak.

Dalam pada itu King Sing berkata, SPDP yang dijenamakan semula sebagai PDP adalah sebahagian daripada inisiatif kepemimpinan parti itu untuk memperkukuhkan kedudukannya, selain memastikannya relevan seiring perkembangan semasa.

PDP ditubuhkan pada 2002 sebelum diterima sebagai komponen BN Sarawak.

Malah, katanya antara inisiatif itu juga adalah emperluaskan cawangannya, termasuk ke Semenanjung, khusus bagi mewakili ‘Anak Sarawak’ yang bermastautin di sana.

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 13 November 2017 10:17 am





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: