Kategori Berita Utama

PDRM pastikan pagar yang makan padi dihukum

19 MEI: Menteri Keselamatan Dalam Negeri (KDN) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, operasi pembersihan menangkap pegawai dan anggota Polis DiRaja Malaysia (PDRM) yang terlibat dalam gejala rasuah akan terus dilakukan.

Beliau menegaskan, KDN akan memastikan mereka yang ‘harapkan pagar, pagar makan padi’ itu ditangkap serta menerima hukuman.

“Saya ucapkan terima kasih kepada Ketua Polis Negara, Timbalan Ketua Polis Negara, semua Ketua Polis Negeri dan Pesuruhjaya Polis.

“Kita tahu semua ‘pagar’ ini beri maklumat operasi polis. Kita menghidu semua perkara ini.

“Petang semalam pun saya ada berjumpa dengan Ketua Polis Melaka. Kita tidak akan lindungi sesiapa pun walaupun mereka yang ditahan mendakwa kononnya dianiya, digunakan atau dipaksa (mengambil rasuah),” katanya.

Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Program Timbalan Perdana Menteri Bersama Warga Universiti Teknologi MARA (UiTM) di Shah Alam, Jumaat

Menurut Zahid, isu rasuah menyebabkan imej PDRM terjejas dan menimbulkan persepsi buruk di mata rakyat.

“Disebabkan sikap seperti enam orang polis di Melaka yang ditahan kerana rasuah inilah menyebabkan rosak susu sebelanga,” katanya.

Pada 18 Mei lalu, Ahmad Zahid memberi kenyataan bahawa KDN tidak akan berkompromi dengan 16 pegawai dan anggota PDRM Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman ditangkap kerana dipercayai terlibat melindungi sindiket pengedaran dadah.

Tidak sampai beberapa jam selepas itu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan tiga pegawai polis dan dua orang awam di Melaka kerana terlibat dengan aktiviti rasuah pusat judi haram dan rumah urut.

Sebelum itu, tiga pegawai kanan polis termasuk dua ketua polis daerah di Melaka turut ditahan atas dakwaan terlibat rasuah.

Pada masa sama, Ahmad Zahid menegaskan bahawa KDN akan sentiasa memantau dan melakukan pembersihan terhadap agensi-agensi penguatkuasaan di bawahnya bagi menghindari unsur-unsur jenayah yang boleh menjejaskan integriti pihak berkuasa.

“Soal pembersihan ini tidak seharusnya bermusim, ia harus dilaksanakan sepanjang waktu.

“Kita harus melakukan tindakan susulan dan harus sentiasa bersiap siaga setiap masa kerana terdapat manusia ini bersifat pelbagai. Ada yang bersifat tidak baik dan ini merosakkan susu sebelanga,” jelasnya.

Share This:




Berita Bertarikh pada 19 May 2017 2:22 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]