Kategori Semasa/Laporan Sidang Parlimen

PDRM semakin diyakini hasil Ops Cantas

Tahap kebolehpercayaan masyarakat umum terhadap Polis Diraja Malaysia (PDRM) meningkat sebanyak 50 peratus hasil Op Cantas Khas yang dilaksanakan kerajaan bagi mengesan anggota kongsi gelap atau gangsterisme bermula 17 Ogos lalu.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, ketika ini kebolehpercayaan masyarakat umum terhadap PDRM berada pada tahap 82 peratus berbanding hanya 32 peratus sebelum operasi itu dijalankan.

Selain Op Cantas Khas, katanya, kejayaan tersebut juga hasil pengenalan pasukan Op Cantas Wanita baru-baru ini.

“Ini bererti PDRM akan menjalankan tindakan secara berpanjangan dan berterusan bagi mencapai tahap kebolehpercayaan masyarakat lebih tinggi dan saya mahu tahap 100 peratus dapat dicapai pada akhir tahun ini,” katanya yang menang tanpa bertanding jawatan Ketua UMNO Bahagian Bagan Datoh.

ops-cantasAhmad Zahid yang juga calon Naib Presiden UMNO berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Bagan Datoh di Wisma UMNO di Simpang Empat, di sini hari ini.

Seramai 475 perwakilan daripada 65 cawangan membuat pemilihan jawatan bahagian dan pusat termasuk memilih Naib Presiden dan Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO.

Sementara itu, Ahmad Zahid berkata, beliau tidak pernah menggunakan Op Cantas Khas yang dilaksanakan kerajaan untuk mengesan anggota kongsi gelap atau gangsterisme ketika ini sebagai publisiti murahan kepadanya yang bertanding sebagai calon Naib Presiden UMNO dalam pemilihan parti itu hari ini.

Sebaliknya, kata beliau, langkah itu merupakan komitmen berterusan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menjadikan negara ini lebih selamat pada masa depan, selain mengurangkan jenayah.

“Operasi ini dan yang lain juga tidak akan dihentikan sebaik sahaja tamat pemilihan UMNO, sebaliknya diteruskan dengan memperluaskan skop kepada sindiket perjudian dan pengedaran dadah, bermula tahun depan.

“Semua yang saya nyatakan tadi tidak akan terhenti pada hari ini kerana kononnya semua operasi yang dilakukan adalah untuk memberi publisiti murahan kepada saya yang bertanding sebagai Naib Presiden UMNO.

“Saya beri jaminan pada masyarakat, PDRM akan terus melakukan operasi biarpun namanya ditambah atau ditukar kepada yang lain,” katanya.

Menjelas lebih lanjut, Ahmad Zahid berkata, operasi khas terbaharu itu nanti bukan hanya akan menumpukan aktiviti jenayah seperti dilakukan ketika ini tetapi lebih kepada membanteras aktiviti perjudian melalui media siber, selain mengesan individu yang selama ini berselindung daripada perniagaan berlesen.-19/10/2013

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 20 October 2013 9:56 am





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: