Kategori Semasa/Laporan Sidang Parlimen

Pegawai TLDM didakwa kemuka tuntutan palsu

1 JUN: Seorang pegawai Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) berpangkat Leftenan Komander mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, hari ini atas tujuh pertuduhan menuntut elaun perjalanan palsu berjumlah RM2,164.55, Januari hingga Oktober 2014.

Nor Shairul Shaharudin, 37, dari Manjung, Perak membuat pengakuan itu sejurus pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Meor Sulaiman Ahmad Tarmizi.

Mengikut pertuduhan pertama hingga ketujuh, tertuduh sebagai Komandan Kem di Kem Pusat Latihan Khidmat Negara (PLKN) Putra-Puteri, Alor Gajah, Melaka didakwa dengan niat membuat tuntutan elaun perjalanan palsu dan penginapan hotel dalam negeri pada 29 Januari, 31 Mac dan 7 Mei 2014 berjumlah RM1,124.80 sedangkan tertuduh tidak menggunakan kenderaan sendiri dan tidak menginap di hotel.

Tertuduh juga didakwa melakukan kesalahan sama pada 8 Julai, masing-masing dua pada 5 September dan 20 Oktober 2014 berjumlah RM1,039.75.

Bagi semua perbuatan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 (2) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah tuntutan atau RM10,000 atau yang mana lebih tinggi.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Nurdiyanah Mohd Nawawi menawarkan jaminan RM35,000 bagi semua pertuduhan dengan seorang penjamin.

Bagaimanapun, tertuduh yang diwakili peguam Sasila Basri merayu jumlah jaminan dikurangkan dengan alasan baru dimaklumkan mengenai pertuduhan pada Isnin lalu, selain sukar menyediakan jumlah jaminan yang tinggi.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM21,000 bagi semua pertuduhan dan menetapkan 4 Julai depan untuk sebutan semula kes.

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 1 June 2017 2:02 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: