Kategori Semasa/Laporan Sidang Parlimen

Pegawai Turki tidak turut sama operasi di Malaysia

19 MEI: “Tidak benar, itu sumber berita yang salah. Saya tahu,” nafi Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata demikian berhubung dakwaan sebuah agensi berita melaporkan pegawai Turki turut sama dalam operasi pihak berkuasa Malaysia semasa menahan 3 warga Turki sebelum ini.

Menurutnya, ia bertentangan dengan kenyataan kerajaan di mana Ankara tidak terlibat dalam operasi itu.

Tegasnya lagi, pihak berkuasa Malaysia mendapat maklumat tentang kegiatan mencurigakan tahanan melalui Pusat Komunikasi Pintasan Mesej (counter messaging centre) selain kerjasama daripada agensi perisikan antarabangsa.

“Daripada maklumat ini kita dapati ketiga-tiga yang ditahan adalah anggota pertubuhan yang diharamkan di Turki dan mahu menggunakan Malaysia sebagai tempat melancarkan gerakan baru di luar Turki.

“Jika kita melindungi mereka dalam jangka masa panjang, ia akan merosakkan imej negara. Ini tidak boleh dibiarkan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas program ‘Universiti Bersama Timbalan Perdana Menteri’ di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam, Jumaat.

Semalam, laman Turkey Purge memetik agensi berita Turki, Anadolu melaporkan Pertubuhan Penyiasatan Kebangsaan Turki (MIT) dan unit anti keganasan negara itu bersama-sama dalam operasi menahan warga Turki di Malaysia.

Menurut laman yang giat melaporkan tindakan besar-besaran Presiden Recep Tayyip Erdogan ke atas pengkritik kerajaan itu, Anadolu melaporkan penglibatan pegawai itu secara rahsia dan tidak diketahui keluarga mereka sendiri.

Ketiga-tiga warga Turki yang ditahan itu adalah ahli akademik Ismet Ozcelik, Pengetua Time International School Ipoh Turgay Karaman dan ahli perniagaan Ihsan Aslan.

Sebelum ini, laman itu turut mendakwa Malaysia menahan mereka atas arahan Ankara namun ia dinafikan kerajaan Malaysia.

Mereka ditahan kerana disyaki terlibat dengan “pertubuhan pengganas” Fethullahist Terrorist Organization (FETO).

Erdogan telah mengharamkan Pergerakan Gulen yang diasaskan intelektual Turki yang kini hidup dalam pelarian iaitu Fethullah Gulen kerana didakwa terlibat dalam cubaan merampas kuasa Julai 2016.

Share This:




Berita Bertarikh pada 19 May 2017 3:29 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]