23 OKT: Pejabat Timbalan Perdana Menteri menafikan secara tegas laporan portal berita pro-pembangkang yang memanupulasikan jawapan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi bahawa Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang meminta bantuan Interpol bagi menjejak ahli perniagaan Jho Low.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan Pejabat Timbalan Perdana Menteri, jawapan yang diberikan oleh Ahmad Zahid ketika menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen PKR Gombak, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali secara jelas menyatakan bahawa tiada kes untuk disabitkan.
Jawapan itu diberikan oleh Ahmad Zahid dalam sidang Dewan Rakyat di Parlimen hari ini
Jelas kenyataan itu lagi, hubungan baik telah terjalin antara PDRM dan Interpol dalam menyiasat kes tersebut.
“Sehingga hari ini, PDRM telah menutup fail kes berkenaan dan tiada lagi permintaan oleh Interpol terhadap kes itu.
“Bagaimanapun, media berkenaan seolah-olah menimbulkan isu pencarian semula terhadap Jho Low, dan itu sama sekali tidak benar,” jelas kenyataan itu hari ini.
Portal propembangkang Malaysiakini dalam laporannya hari ini menyiarkan berita bertajuk ‘PDRM mohon bantuan Interpol kesan Jho Low’.