Kategori Berita Utama

Pelabur digesa abaikan pembangkang

20 JUN: Tolong abaikan apa yang pembangkang dakwa mengenai FDI kerana dakwaan itu dibuat secara melulu, tiada asas dan bersifat rasis, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Justeru itu Perdana Menteri menggesa para pelabur khususnya pelabur asing tidak termakan dengan hasutan fitnah pembangkang yang cuba memburukkan imej negara.

Beliau turut mengingatkan para pelabur bahawa Malaysia sentiasa memberi jaminan dan mengamal dasar mesra pelabur walaupun saban hari menghadapi tohmahan pembangkang.

Menurut Najib, kerajaan mengalu-alukan kemasukan pelaburan langsung asing (FDI) dari semua negara sama ada dari Jepun, China, Arab Saudi, Amerika Syarikat atau Singapura.

“Jika pelaburan itu memberi tambah nilai kepada ekonomi negara dan menyediakan peluang pekerjaan kepada rakyat, kedatangan pelabur amat dialu-alukan,” katanya dalam majlis pecah tanah projek Bukit Bintang City Centre (BBC) dan Mitsui Shopping Park LaLaport KL (LaLaport KL), pada Selasa.

Dalam ucapannya, beliau mengulas lanjut pembinaan projek pembangunan BBCC di tapak bersejarah bekas Penjara Pudu, bakal berupaya mengangkat imej Kuala Lumpur sebagai metropolis antarabangsa moden.

Najib yang juga Menteri Kewangan menjelaskan  projek pembangunan ikonik itu dijangka mengubah kawasan bekas tapak penjara zaman kolonial itu menjadi pusat pembangunan bersepadu kelas dunia.

Beliau berkata, BBCC dan Mitsui Mall akan menjadi tumpuan pelancong menjelang 2020 dan bakal menyumbangkan pendapatan bagi mencapai sasaran 36 juta pelancong dan penjanaan pendapatan RM168 bilion pada tahun tersebut.

BBCC dan Mitusui Mall akan dibangun di tapak seluas 7.76 hektar dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM8.7 bilion menerusi kerjasama UDA Holdings Bhd, Eco World Development Group Bhd dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dengan pelaburan bersama Mitsui Fudosan dan Sony Music Japan.

Projek ini merangkumi pembinaan pusat beli belah, hab hiburan, hotel, dua blok pejabat, lima blok pangsapuri dan kediaman mewah.

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 20 June 2017 1:50 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: