Kategori Berita Utama

Pelaksanaan cukai tafsiran DBKL ditangguh

27 NOV: Warga kota Kuala Lumpur boleh menarik nafas lega apabila Kementerian Wilayah Persekutuan pada Rabu mengumumkan kenaikan kadar cukai tafsiran yang dicadangkan sebelum ini ditangguhkan sementara waktu.

Timbalan menterinya, Datuk Dr. J. Loga Bala Mohan berkata penangguhan tersebut dibuat setelah kementerian mendapati perlunya ada satu sesi pendengaran bantahan awam bagi mendapat input dan pandangan dari masyarakat yang terlibat.

“Saya ada sedikit berita baik, kenaikan cukai tafsiran DBKL (Dewan Bandaraya Kuala Lumpur) ditangguhkan bagi membolehkan sesi pendengaran bantahan dilaksanakan mulai Januari hingga Mac 2014,” kata beliau ketika menggulung Rang Undang-undang Perbekalan 2014 peringkat jawatankuasa Kementerian Wilayah Persekutuan.

Bagaimanapun, Loga berkata warga kota masih perlu mengemukakan bantahan atau aduan seperti mana yang ditetapkan sehingga 17 Disember 2013 supaya sesi pendengaran dapat dibuat seperti jadual yang ditetapkan.

logatimwp

Dr LOGA..DBKL tangguh untuk pendegaran awam

Sebelum itu, beliau menegur pihak pembangkang yang tidak memberi tumpuan ketika beliau memberi penerangan dan sering memutar belitkan fakta berkenaan dengan isu tersebut.

“Itulah tak beri perhatian dalam dewan. Tanya soalan lepas itu main ‘whatsapp’. Kita tangguh untuk bantahan dari Januari hingga Mac tahun depan. Tarikh untuk laksanakan belum ditetapkan lagi.

“Haraplah pihak-pihak pembangkang faham maksud kenaikannya bukan dari segi kadar tafsiran tetapi pada nilai sewa tahunan,” tegas beliau.

Beliau membidas ahli Parlimen DAP Segambut Lim Lip Eng yang mencelah bertanya sehingga bilakah penangguhan tersebut selepas 10 minit isu itu dijawab timbalan menteri berkenaan.

Isu cukai ini timbul apabila Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor sebelum ini memaklumkan kementeriannya bercadang untuk menaikkan kadar cukai memandangkan ianya tidak pernah dinilai semula selama 21 tahun.

Bagaimanapun beliau menafikan dakwaan beberapa anggota Parlimen pembangkang bahawa kadar baharu itu akan melonjak lebih 200 peratus berbanding kadar sekarang dan menjamin tidak akan dinaikkan secara mendadak.

Katanya, keputusan berkenaan dengan kadar baharu itu belum muktamad dan notis penyelarasan yang dikeluarkan DBKL kepada warga kota baru-baru ini hanya merupakan kadar yang dicadangkan sahaja. –bnbbc.my

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 27 November 2013 4:52 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: