Kategori Berita Utama

Pelantikan Sulaiman mampu pulihkan imej FGV

19 JUN: Pelantikan Tan Sri Dr. Sulaiman Mahbob sebagai memangku jawatan Pengerusi Felda Global Venture (FGV) dilihat mampu membetulkan semula pentadbiran FGV.

Pengerusi Felda, Tan Sri Shahrir Abdul Samad berkata kepimpinan tertinggi Felda juga menyambut baik pelantikan tersebut malah melihat ia sebagai perkembangan positif di peringkat tertinggi dalam usaha membetulkan jika terdapat apa yang tidak betul dalam tadbir urus FGV sebelum ini.

“Beliau bukan orang yang asing dalam Felda kerana pernah menjadi Ahli Lembaga Felda semasa berkhidmat dengan kerajaan dahulu.

“Pengalaman dan hubung kait beliau dengan Felda sebelum ini membuatkan terdapat kesinambungan baik antara pengerusi sebelumnya dengan pengerusi baharu,” katanya kepada media sebelum menghadiri Majlis Berbuka Puasa Wilayah Felda Segamat di Masjid Jamek Felda Tenang, hari ini.

“Jadi, ini bermakna seseorang yang ada pengalaman serta ada kaitan dengan FELDA, sekarang (dilantik) di peringkat lembaga pengarah FGV (kedudukan pemangku pengerusi).

“Dia (Sulaiman) dilantik sebagai Pemangku Pengerusi FGV menggantikan Tan Sri Isa Samad bagi memastikan kesinambungan antara pengerusi lama dan baharu dan pada masa sama membantu kepada suara Felda dan semangat FELDA itu akan dapat kita teruskan,” katanya.

Shahrir turut memuji usaha yang dilakukan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Idris Jala yang dilantik sebagai orang tengah bagi menyelesaikan kemelut FGV itu.

“Buat masa ini, apa yang dimandatkan kepada beliau (Idris) sudah pun dilaksanakan dengan baik. Peranannya dah tercapai, terhasil dan selesai (isu FGV). Saya rasa selepas ini, biar apa proses dalam syarikat FGV, biarlah FGV sendiri laksanakan dengan sebaik mungkin.

“Saya berharap pengerusi baharu bertanggungjawab laksana tugas-tugas dia dalam FGV terutama proses dalaman untuk menyiasat empat pegawai FGV sebagaimana yang kita ketahui. Kini terserah kembali kepada FGV itu sendiri,” katanya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak petang tadi mengumumkan pelantikan Sulaiman sebagai pemangku Pengerusi FGV berkuat kuasa serta-merta.

Manakala Tan Sri Isa Samad bersetuju melepaskan jawatan sebagai Pengerusi FGV dilantik sebagai pemangku Pengerusi Suruhanjaya Pengangku­tan Awam Darat (SPAD) juga berkuat kuasa serta-merta.

Share This:




Berita Bertarikh pada 19 June 2017 7:46 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]