Kategori Berita Utama

Pelawaan muzakarah: Jangan hanya gimik politik

25 NOV: Kesediaan PAS untuk mengadakan muzakarah dengan UMNO seperti yang dinyatakan oleh Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam ucapan penggulungannya sempena Muktamar Tahunan ke-59, parti itu mendapat pelbagai reaksi daripada kedua-dua pihak.

Ini kerana soal muzakarah yang kerap dicadangkan UMNO sebelum ini kerap dipandang sinis pemimpin PAS terutama oleh Mursyidul Am Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Namun, kesediaan PAS kali ini untuk duduk semeja dengan UMNO membincangkan isu berkaitan pentadbiran agama Islam perlu dimanfaatkan kedua-dua pihak.

umnopasjoint

Sudah banyak pihak mencadangkan UMNO dan PAS duduk bersama bincang soal kepentingan Islam

Menurut ahli Parlimen Kota Tinggi, Datuk Noor Ehsanuddin Mohd Harun, UMNO dari dulu konsisten untuk bermuzakarah dengan PAS supaya dapat bekerjasama dalam satu platfom bagi menegakkan syiar Islam dan membangunkan ekonomi negara.

Jelas Ehsanuddin, apa yang penting dalam muzakarah ini adalah keikhlasan kedua-dua pihak untuk bersemuka dan bukannya dijadikan satu gimik politik semata-mata untuk memenuhi lompong-lompong dalam Mustamar PAS baru-baru ini dimana PAS banyak dikritik.

“Cuma yang tidak mahunya PAS…suatu ketika dia panas suatu ketika dia sejuk. Mungkin dia panas sekarang ini sebab baru lepas Muktamar PAS. Kita tidak mahu perkara ini menjadi gimik politik yang tidak mempunyai arah tujuan,” katanya.

“Ianya tidak baik jika sekejap sejuk sekejap panas kerana akhirnya rakyat melihat ahli politik ini tidak serius sebaliknya untuk kepentingan politik jangka pendek. Kepimpinan UMNO amat terbuka dan konsisten dari dulu kerana ianya tidak mustahil untuk dilakukan.

“Tetapi malangnya pemimpin-pemimpin PAS terutama Mursyidul Am sering mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang menyakitkan hati,” katanya mengulas cadangan Hadi itu.

Sebelum PAS berniat untuk bermuzakarah, Ehsanuddin berkata adalah lebih baik mereka bermuhasabah dan berfikir dahulu sama ada niat itu ikhlas atau tidak.

“Jika ikhlas, kita terus kedepan jika tidak hentikan gimik politik ini kerana kesannya amat buruk kepada kepercayaan rakyat yang dipermain-mainkan. Janganlah guna politik untuk menghancurkan kepercayaan rakyat,” tegas beliau.

Bekas Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar pula mahu UMNO menunjukkan komitmen dan kesungguhan untuk bermuzakarah dalam soal pelaksanaan syariat Islam di Malaysia dan bukan soal kerjasama kedua-dua parti itu.

“Sekarang ini terpulang kepada UMNO. Atas apa isu pun bukan hendak bekerjasama dan menyertai UMNO. Kita tunggulah,” ujar ahli Parlimen Pokok Sena itu.

Ahli Parlimen PAS Dungun, Wan Hasan Mohd Ramli berpendapat muzakarah ini suatu perkara yang perlu dan sangat penting.

Bahkan katanya, ianya tidak sahaja harus dilihat kepada keputusan muzakarah tetapi pelaksanaannya.

“Teori itu satu hal tetapi pelaksanaannya itu satu perkara yang lain. Pelaksanaan bergantung kepada keputusan muzakarah. Sesuai atau tidak sesuai itu yang perlu kita lihat dari semasa ke semasa,” jelas beliau.

Pada 2008 lalu, beberapa wakil UMNO dan PAS daripada barisan tertinggi kepemimpinan parti sudah pun mengadakan muzakarah yang dicadangkan ketika itu tetapi selepas empat pertemuan, akhirnya ia lenyap begitu saja tanpa ada tindakan susulan.

Sebelum itu, hubungan antara UMNO dan PAS bertambah teruk berikutan timbul isu kafir mengkafir dalam kalangan umat Islam selepas Hadi menyampaikan ceramah bertajuk ‘Amanat Haji Hadi’ di Terengganu pada 1981.

Rentetan daripada itu, timbul pula isu sembahyang dua imam, perceraian antara suami isteri berlainan parti dan sebagainya. -bnbbc.my

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 25 November 2013 4:03 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: